Terkini

Antara Ayah dan Kereta

Jika ditanya kepada seorang anak, " Mana lebih kau sayangi antara ayah/ ibu kamu berbanding dengan sebuah kereta ? Sudah pasti jawapan yang waras ialah mereka memilih ibu bapa. Tetapi realitinya, adakah begitu.

Syurga idaman

Seorang anak yang hidup mewah di dalam sebuah rumah besar, berkereta mewah dan berjawatan tinggi sewajarnya perlu bersyukur. Jangan sesekali melupai jasa ayah dan ibu. Amat malang jika pendidikan tinggi yang diberikan oleh ayah ibu selama ini, akhirnya menjadikan anak-anak ini seperti 'robot'. Tidak ada ruh kasih sayang keinsanan.

Jika garaj deretan kereta mewah boleh disediakan sebegitu rupa, bagaimana dengan rumah kediaman ayah di kampung ? Harapnya tidaklah bocor di sana sini pada musim hujan. Semoga ayah dan ibu tidak lagi tidur beralaskan tikar mengkuang usang bertemankan nyamuk dan pepijat yang gatal. Semoga tidur ayah tidak lagi terganggu. Biarlah mereka meniti sisa-sisa usia ini dengan tenang dan penuh kerehatan.



Ada juga anak yang memasang penghawa dingin di dalam garaj kereta kesayangannya. Tetapi rumah ayah di kampung masih lagi belum berkipas. Musim kemarau yang panas ayah dan ibu hanya mampu berkipas tangan dan memakai sehelai sepinggang. Panasnya.......Apa boleh buat, kami sudah selesa begini, kata ayah.


Rumah ini masih seperti dulu
Ayah dan ibu tidak akan bersungut dan meminta apa-apa dari kita. Cukuplah dengan hanya melihat kebahagian dan keceriaan yang diraih oleh anak-anaknya. Mereka akan berbangga dengan kejayaan kita. Mereka akan menceritakan kisah hidup mewah kita kepada rakan-rakannya. Biarlah segala duka semalam itu ayah dan ibu sahaja yang menanggungnya. Bergolok gadai, berhutang sana sini untuk membesarkan anak-anak. Menebalkan muka demi anak-anak.

Tetapi hari ini, anak-anak sudah senang. Masing-masing sudah malu untuk mengingati susur galur jalur keperitan itu. Apatah lagi untuk mengaku silsilahnya dari keluarga yang susah. Tinggallah ayah dan ibu yang masih seperti dulu.

Janganlah ada dikalangan kita ini, menjadi anak yang tidak mengenang budi. Membiarkan ayah dan ibu  berterusan hidup dalam pusaran ganas kemiskinan sedari muda hingga ke tua. Apalah erti kekayaan dan kemewahan hidup, jika orang yang sepatutnya dirai, dsanjung dan dihargai terdampar di buai ilusi masa. Hakikatnya kedua insan ini sudah terbuang di dalam kamus hidup anaknya !..
 " Ya Allah, ampunkanlah dosa kedua ibu bapaku. Rahmatilah kehidupan mereka. Sayangilah mereka sebagaimana mereka menyayangi aku semasa aku masih kecil..."

KENAPA ALLAH SWT TURUNKAN MASALAH KEPADA KITA

Jangan banyak termenung...
Bila nama saja manusia, maka kita tidak akan sunyi dari masalah. Lain orang, lain masalahnya. Ada juga sesuatu yang mendatangkan masalah kepada orang lain, tetapi menjadi peluang kepada pihak lain. Setiap masalah yang menimpa akan mengubah rentak hidup anda jika tidak ditanganinya dengan baik. Semua masalah yang ditimpakan itu adalah untuk :

1. Membongkar segala kekuatan yang terpendam di dalam diri.

Cuba perhatikan, kebanyakkan orang yang berjaya lazimnya melalui kehidupan yang berliku. Masalah yang dihadapi telah memaksa dirinya mengerah segala kudrat dan pemikiran. Potensi yang tersembunyi akan mula terpamer. Kerana berkat kesabaran dan kesungguhan, mereka akhirnya berjaya. Ingat ! semua masalah boleh diselesaikan. Bersabarlah.

2. Agar kita berubah

Pandanglah sesuatu masalah itu sebagai batu loncatan dan bukannya beban yang perlu dirungsingkan. Bila mengalami masalah, katakan kepada diri, " inilah masa untuk aku berubah." Masalah sukar untuk diselesaikan jika kita masih menggunakan cara lama. Kita perlukan kaedah dan formula baru untuk mengatasinya. Dalam proses pengkajian ini kita akan ketemui idea-idea baru yang segar. Bila idea ini dilaksanakan, kita akan berubah tanpa disedari.

3. Balasan ke atas dosa-dosa kita

Semua manusia berdosa. Sebaik-baik orang yang berdosa itu ialah mereka yang selalu sedar diri dan bertaubat. Ingatlah, sesuatu masalah itu sebagai amaran daripada Allah di atas perbuatan kita. Sebagai satu amaran awal dariNYA kerana mungkin kita sudah semakin jauh dari landasan taqwa.

4. Kerana perbuatan tidak baik kita kepada orang lain

Jika kita menyakiti hati seseorang, sama ada secara sengaja atau tidak, orang yang kita sakiti itu teraniaya maka ketika itu hidup kita tidak akan tenang lagi. Masalah akan datang bertimpa-timpa dalam hidup kita. Justeru, jika hidup kita selalu bermasalah, maka fikir dan renunglah perbuatan kita sebelum ini. Mungkin kita telah menyakiti hati seseorang.

Mungkin orang yang kita sakiti itu adalah ibu bapa kita sendiri. Atau mungkin juga rakan sekerja yang menyampah dengan sikap kita tetapi tidak tergamak untuk memberitahunya. Oleh itu, sentiasalah meminta maaf dan berwaspada dengan sikap kita. Jadilah orang yang paling bermanfaat kepada orang lain. Ingatlah setiap masalah itu adalah peluang untuk kita belajar sesuatu yang baru dalam kehidupan ini.

Mendambakan ketenangan dengan mendampingiNYA
Sentiasa befikiran positif dan ikhlas. InsyaAllah hidup akan kekal bahagia....

Hassan Ali... Oh Hassan Ali...

"Sukacita saya maklumkan pendirian saya tidak pernah berubah dalam hal mengagungkan Islam, memartabatkan bangsa Melayu dan mendaulatkan institusi Raja. Samada saya di calon atau tidak, itu tidak menjadi halangan bagi saya, bahkan isu ini menjadikan semangat saya lebih kental untuk terus berjuang. Saya yakin ramai yang memahami, menjiwai dan akan terus bersama-sama dengan saya untuk meneruskan agenda perjuangan ini.

Saya tegaskan di sini bahawa perpaduan dikalangan umat Islam memang merupakan tunjang perjuangan saya sebagai seorang Muslim yang beriman dengan tuntutan AlQuran dan Assunnah. Soal perpaduan ini merupakan salah satu elemen Siyasah Syar’iyyah yang saya jiwai dan cuba cernakan semenjak saya berkhidmat sebagai pegawai kerajan, sebagai motivator dan juga bila saya berkecimpung dalam dunia politik. Malah penerjunan saya ke dalam kancah politik sebahagian besarnya dipacu oleh tuntutan perpaduan ini.

Seandainya saya dilihat sebagai pemangkin kepada tercetusnya perpaduan sejati dikalangan umat Islam maka di atas dasar kesungguhan untuk menjayakan perjuangan ini, saya bersedia untuk melaksanakan peranan merealisasikan perpaduan di kalangan umat Islam dan bangsa Melayu tanpa mengira golongan mahupun wadah." - YB Dato' Dr. Hassan Mohamed Ali

1. Isu Perpaduan, Islam dan calon pilihanraya. Berderau darah dan semangat bila mendengar dan membaca kenyataan akhbar EXCO Selangor ini. Cukup mantap, padat, bermesej lagi mendalam maknanya. Kenyataan yang dilantunkan ketika gelora dan sepak terajang politik dalaman mula menggila.
Dr. Hassan Ali : Terus gah atau berkubur

2. Apa pun pandangan sama ada pro atau kontra terhadap beliau, tentunya bekas mativator terkenal ini sudah tidak tahan lagi dengan pelbagai tohmahan dan spekulasi yang dilontarkan untuk menggugat survival politik dan prinsip perjuangannya.  Asakan kiri kanan, atas bawah ini cukup mencabar kredibilitinya. Inilah wajah sebenar percaturan politik. Ibarat sebiji buah machang lagaknya. Cantik di luar tapi buruk di dalam.

3. Apakah Dr. Hassan Ali menjadi mangsa keadaan atau mangsa kerakusan rakan-rakan yang lahapkan kuasa. Atau sebenarnya beliau ini menjadi liabiliti kepada parti PAS ? Fikir dan selidikilah sendiri.

4. Pokoknya, pada permulaan kemasukkannya ke dalam parti PAS dulu beliau disambut dengan penuh kesyukuran sehinggakan mencetuskan fenomena luar biasa di dalam PAS. Seakan-akan inilah tokoh yang ditunggu tunggu untuk membina jalan ke Putrajaya ! Popularitinya ketika itu hampir-hampir menenggelamkan kewujudan presiden PAS sendiri. Kemuncaknya, beliau diberi kepercayaan oleh perwakilan PAS untuk berada di kerusi naib presiden.

5. Itu semua cerita lama. Bila Pakatan Rakyat menguasai negeri Selangor pada pilihanraya 2008, persepsi orang PAS khususnya dikalangan sesetengah pimpinan mula berubah. Beliau dilihat menjadi duri dalam daging bagi kerajaan pakatan di selangor. Apa sebenarnya yang berlaku 'dalam kelambu' kerajaan Selangor itu kita tidak tahu. Wallahu a'lam. Masing-masing mula tuduh menuduh dan menyimpan prasangka. 

5. Jika sebelum terjun  ke medan politik Dr. Hasan Ali begitu terkenal dan dilihat berjaya dalam bidangnya.  Dengan platform AKRAB beliau begitu sinonim dengan cerita keluarga bahagia. Ceramah motivasinya yang memukau serta pakar perancangan strategik dan kepimpinan. Tentunya Pelbagai teori kepimpinan organisasi telah diperturunkan kepada ratusan organisasi yang menjadi pelanggannya. Tetapi apabila masuk ke gelanggang sebenar, segala kepakaran dan emosinya benar-benar diuji. Rupaya terlalu sukar untuk mempraktikkan teori ke alam realiti.

6. Badai dan sepak terajang politik ini cukup ganas. Hanya yang cekal sahaja mampu menahannya. Kadang-kadang 'tembakan politik' dilihat membidik ke hadapan, tetapi tidak semena mena rakan yang berada di sebelah kanan pula yang kecundang. Itulah sifir asas dalam politik. Wajah luaran yang dilihat itu tidak mencerminkan cerita sebenar. Itu semua adalah kosmetik. Tidak ada istilah kawan dan musuh yang kekal. Bertanam tebu di bibir mulut itu mesti. Selalu menghamburkan kata-kata manis. Tetapi awas, kadang kadang itulah racun yang amat berbisa.

7. Kerana itu, ramai yang tidak tahan dan kecundang dalam perjuangan. Medan yang memerlukan manusia mampu melakonkan pelbagai watak. Lembah yang menuntut manusia melakukan apa sahaja demi KUASA. Karier yang perlu melondehkan aib orang lain dengan melupakan cela sendiri...Itulah politik !

8. Persoalannya mungkinkah YB. Dr. Hassan Ali akan mampu bertahan dengan prinsip perjuangannya itu.  Atau kariernya akan berkubur di pusara tanpa nesan. Sama-sama kita saksikan jalan ceritanya nanti...   


Jaringan Berita