Terkini

Puas hati dapat kalahkan Kelantan ...

Semua team ingin memadam impian besar TRW. Bangga dan puas hati sangat bila dapat rebahkan gergasi merah ini. Rasa macam hebat dan sudah menang satu piala berprestij ! Ada sesetengahnya sanggup 'buat pulut kuning' bila Kelantan tumpas.

-->
Tengok saje komen-komen di alam siber apabila Selangor mencalarkan rekod unbeaten Kelantan tempohari (2-1). Antara komen yang menarik :

Rasa nak main gitar ...

Zaman remaja dulu, minat sangat dengan gitar kapak. Seakan terlopong bila tengok kumpulan rock kapak era 80 dan 90-an dulu men'goreng' gitar yang berbentuk bintang tu. Gitaris seperti Joe (Wings), Awang (BPR), Kid (Search), Hilliary Ang dan Man Kidal memang menjadi pujaan hati. Hebat sungguh kuasa gitar ni.


Zaman muda dulu, waktu malam banyak diisi dengan program-program keAgamaan di masjid. Dengar kuliah, belajar al Quran, menghafal sifat 20 puluh, belajar silat dan sebagainya. Tapi sebelum sampai ke masjid  tu biasanya kita lepak-lepak dulu dengan geng 'Mat Rock Cintan' kat tepi jalan. Suka dan minat sangat  tengok geng tu main gitar. Masa tu lagu paling top Misteri Mimpi Syakila, Taman Rashidah utama, Fenomena, Isabella, Bunga larangan, Masih aku terasa dan lagu daripada ratu rock Ella.

Sesekali bila diberi peluang hampir putus tali gitar aku kerjakan. Kononnya mahu melepaskan gian. Bila ayah dan Mak tahu, mereka akan marah-marah. Katanya, jangan cuba memanjangkan 'siulan syaitan' itu. Ustaz yang bagi kuliah kat Masjid pun kata begitu. Itu pasal aku terselamat dan tak jadi pemain gitar handalan. Kalau tak ....Mungkin sekarang ni duk 'goreng' gitar kat mana-mana.

Seminggu sudah anak bertanya, " Hebatnya ustaz ni main gitar, di beranda masjid pula tu ", Boleh ke main gitar ni, Ustaz fardu ain kata tak boleh. Apa hukum main alat muzik ni ? Paling dia suka bila tengok seorang ustaz terkenal menunjukkan skill memetik gitar. Cukup menghiburkan. Ramai anak-anak muda yang tertarik dan mula terfikir bahawa Agama kita ni bukan Agama yang menyekat tetapi membimbing dan memandu manusia. Ertinya... "boleh".......dengan syarat...................

Lazimnya anak-anak muda ni ada stigma tersendiri kepada golongan ustaz dan kaki masjid .  Mereka begitu berfikiran negatif dan menganggap 'orang masjid' ini tidak faham jiwa mereka. Kerana itu mereka sukar untuk didampingi apatah lagi hendak menghampiri masjid. Ajaran Agama pula kadang-kadang ditampilkan seperti   ianya tidak meraikan fitrah manusia. Tidak boleh berhibur atau mengasah bakat terpendam. Sedangkan semua itu tidak ada masalah jika kena dengan syarat dan caranya.

Dulu mana ada penyanyi atau pelakon yang pakai tudung, sekarang ini sudah berlambak. Begitu juga dengan pengacara TV.  Dulu stesen TV cukup fobia dengan orang yang bertudung. Entah jembalang mana yang  telah masuk ke dalam minda si pembuat dasar ni. 

Hari ini golongan 'public figure' yang bertudung litup ini sudah terkenal dan menjadi pujaan ramai. Ramai juga remaja yang pakai tudung kerana mereka. Sudah pasti ini satu perkembangan yang sihat. Walaupun kadang-kadang mereka bertudung ala kadar dan kepala bertudung tetapi bahagian lain pula terbuka !

Tapi ingat.....seorang wanita yang menyanyi di hadapan lelaki yang bukan mahramnya dan majlis itu pula berlaku pergaulan bebas maka hukumnya haram. Kalau wanita buat show di hadapan kaum sejenisnya ok la.

Mutakhir ini pula, dengar-dengar kata ramai juga golongan artis, ahli muzik dan mat-mat Rock yang mula mendekati Agama lantaran pendekatan dakwah yang digunakan oleh Ustaz dan bekas artis tadi.  Baguslah kalau betul dapatan ini. Mereka membawa mesej ketuhanan dan kemanusiaan dalam persembahan. Pakain juga lebih bersopan dan beradat.

Sebetulnya banyak cara yang boleh digunakan untuk berdakwah. Paling utama ialah teknik dan pendekatan perlu berhikmah (alQuran 16:125). Tidak terhad  melalui medium ceramah di masjid atau padang terbuka sahaja. Ruang facebook, blog, lukisan, dan seni muzik dilihat lebih berkesan dan meluas. Perlu diingat, setiap orang ada bakat dan kebolehan yang berbeza dan tersendiri. Ada yang hanya pandai main gitar, tapi tak pandai berceramah. Ada yang pandai menyanyi tapi tak bijak menulis. Aku pula pandai main gitar, berceramah dan menulis! Ya Ke? He..he..he..

Justeru, apalah salahnya jika semua kebolehan ini kita adun dan serasikan untuk membimbing masyarakat ke arah SATU matlamat iaitu mendapat Keredaan Allah SWT.

Kisah dari Singapura


Sekitar tahun 80-an dulu ayah bekerja sebagai buruh binaan di Singapura. Lelaki yang bekerja di Kota Singa pada zaman itu dikenali sebagai ‘Mat Spura’. Balik ke kampong sekali sekala memang loaded dan bergaya sakan dengan baju jenama mentagok (salah eja) dan seluar Levis.


Buah tangan yang wajib dibawa balik ialah air laici dalam tin (AAA), buah epal hijau atau merah serta limau China. Tak ketinggalan juga ayah belikan kipas angin, sterika dan radio. Tentunya abang dan kakaklah yang paling suka. Mereka dibelikan jam tangan jenama Seiko dan Quartz.

Untuk Mak, ayah belikan kain sarung buatan Indonesia dan baju harian. Setiap kali balik dari Singapura kulit wajah ayah kelihatan hangus. Penangan terjahan sinar matahari di Kota Kosmopolitan itu. Kesian ayah! Satu pengorbanan demi sesuap nasi dan kebahagian keluarga.

Kalau ayah tak balik, pasti ada kiriman wang yang diberi melalui rakan-rakannya yang balik ke kampung. Sekeping sampul surat berbelang merah biru itu sentiasa kami tunggu. Apa tidaknya, di dalamnya pasti ada RM3 atau 4 ratus. Aku selalu mendengar luahan isi hati ayah di lembaran surat yang dikirimkan. Kakak selalu membacanya kepada ibu. Antara frasa yang masih segar dalam ingatan ialah .....

”Apa khabar anakanda di kampung. Ayahanda di Sini sihat walafiat adanya. Ini duit sebanyak RM300.00 dikirimkan.....”

Aku dan adik-adik hanya mampu bertanya, “Bila ayah akan balik”. Ibu akan bagi jawapan yang pelbagai. Dengan duit bekalan itu dan sedikit sumber pendapatan kerja kampung ibu, kami dibesarkan di dalam sebuah rumah kayu yang masih utuh sehingga kini.

Bulan November dan Disember setiap tahun, merupakan saat-saat yang memeritkan. Maklumlah musim hujan. Banyak kerja tergendala. Hanya dipenuhi dengan aktiviti menangkap ‘ikan darat’ sahaja. Ibu dan kakak selalu berpesan, “ Makan nasi sikit saja, tak dok duit nak beli beras “.

Setiap kali teringatkan skrip pesanan itu, air mata ini akan bergenang dan meluncur laju tanpa disedari. Ketika itu aku tidak faham apa makna pesanan itu! yang pasti kami adik beradik tersangat lapar pada musim hujan. Begitu cepat masa berlalu. Kenangan itu telah menjadikan ikatan kasih sayang antara kami adik beradik bertambah kukuh.

Hari ini aku sudah menjadi ayah dan mempunyai isteri serta anak-anak. Aku tidak lagi mewarisi kerja buruh ayah di Singapura. Anak-anak juga tidak lagi melalui pengalaman yang aku lalui dulu. Isteri juga tidak melalui pengalaman perit membesarkan anak dengan sumber yang terbatas. Tetapi pengalaman lalu telah mengajar dan mentakrifkan kepada aku erti bersyukur dan nilai kasih sayang seorang ayah dan ibu...




Jaringan Berita