Terkini

Motivasi Diri : Roda kehidupan

Semasa kecil dulu, ketika bergelar baby kita banyak bergantung kepada ibu atau bapa untuk meneruskan hidup. Tidak bergigi, pakai pampers dan tenaga yang amat terbatas. Kita terus membesar dengan sempurna melalui tahap-tahapnya.

Ketika remaja kita memiliki segalanya. Kekuatan fizikal, mental, kecantikan atau kehenseman, kerjaya dan status sosial yang dipandang tinggi.  Kita mampu melakukan apa sahaja.Terasa dunia ini milik kita.

Tetapi setelah berusia 40-an putaran hidup mula kembali ke zaman kanak-kanak dulu. Nikmat kesihatan mula ditarik satu persatu oleh pemberiNYA. Rambut dah mula berubah warna, gigi dah mula tidak original, daya ingatan semakin lemah, kudrat semakin kendur. Tetapi ada satu benda yang tak pernah lemah dan menurun dalam diri kita ini. Malah semakin tua semakin 'galok'. Itulah NAFSU !. Semakin berusia semakin tamak dengan harta, pangkat dan seks. Semakin malas untuk 'bersyukur' kepadaNYA. 


Hidup juga seperti cuaca...

Lazimnya setelah kita diberi kesenangan harta dunia, memiliki status sosial yang tinggi, terkenal dan sebagainya maka ketika itulah penyakit mula ditimpakan kepada kita. Kencing manis, darah tinggi, jantung, buah pinggang, rabun, lemah tenaga batin, monopous dan sebagainya. Inilah realiti yang amat sukar untuk dihadapi oleh manusia.

Akhirnya, kita akan kembali ke zaman bayi dulu juga. Hanya mampu bersempuh di katil rumah atau di wad hospital sahaja. Mula kembali pakai pampers dan tidak mampu bergerak tanpa dibantu. Segala harta yang dikumpul selama ini mula dicurahkan untuk merawat penyakit diri. Kita mungkin dirasakan satu beban kepada orang sekeliling !. Perasaan hati bagai dihiris-hiris setiap hari. Makan hati berulam jantung. Sekali fikir, alangkah baiknya jika nyawa ini tidak lagi menjadi tetamu jasad ketika itu.

Justeru, sebelum tahap-tahap ini kita lalui atau sedang dilalui kini maka perkemaskan diri dengan 4 perkara :

1. Kembalilah kepada Allah. Tetapi bagaimana ?. Mana jalannya ?

2. Ubah cara berfikir tentang kehidupan. 

3. Perbaharui sikap positif setiap hari

4. Buat kebaikkan, amal jariah dan hubung silaturahim setiap hari

Selain itu, rebutlah 5 perkara sebelum datang 5 perkara lain. Antaranya manfaatkan usia muda sebelum datang hari tua. Pergunakan nikmat kesihatan sebelum datang kesakitan. Guna sebaiknya masa lapang sebelum datang saat sibuk, insaf ketika kaya sebelum ditimpa kemiskinan dan peluang ketika hidup sebelum kita dijemput olehNYA.

Jika ini telah dimiliki, nescaya kita akan melalui kehidupan ini dengan penuh ketenangan dan keinsafan. Sentiasa bersedia dalam sebarang situasi dan ujian kehidupan. Selamat beramal !!!

0 Response to "Motivasi Diri : Roda kehidupan"

Jaringan Berita