Terkini

7 KRITERIA PENCERAMAH HEBAT

" Saya seorang yang gugup dan cepat kering idea bila berhadapan dengan penonton. Saya gabra bila melihat ratusan dan mungkin ribuan mata-mata merenung ke arah saya. Lidah menjadi kelu. Saya tidak pandai berlawak jenaka macam ustaz Azhar Idrus dan kurang ilmu untuk dikongsikan. Suara pula tidak parau macam suara Hj Hadi, malah leweh pula bunyinya! " 

Hebat berpidato satu anugerah, tetapi boleh dipelajari

 Itulah antara luahan bagi seseorang yang baru berjinak-jinak dalam dunia pengucapan awam ini. Yang pastinya, semua orang bermula dari kosong. Paling penting kita mahu belajar.

Sebagai seorang pendengar, apakah kayu ukur yang digunakan untuk mengkelompokkan seseorang itu sebagai seorang pemidato atau penceramah yang hebat dan berpengaruh ? Umumnya kita menggunakan beberapa kriteria, antaranya :

 

i. Ucapan yang segar, jelas, berisi, ada unsur humor dan dilantunkan dengan suara yang parau (lelaki) dan lantang (wanita). Cuba dengar dan hayati pidato Asri  Muda (Allahyarham), Fadzil Noor (Allahyarham), Bunyamin Umar (Allahyarham), Mat Sabu, Anuar Musa, Ibrahim Ali, Saifuddin Nasution, Nasaruddin Daud, Ezam Mohd Noor, Khairi Jamaluddin, Rafidah Aziz dan Sharizat. Mereka cukup hebat.

 

ii. Gaya persembahan pemidato. Memek muka, gusture, intonasi suara dan penampilannya. Contohnya Sukarno, Barrack Obama dan Anuar Ibrahim.

 

iii. Ucapannya cukup mengesankan. Menimbulkan kesedaran untuk berubah. Mengubah emosi pendengar. Kadang-kadang menjadi sedih, bersemangat dan ada ketikanya boleh ketawa terbahak-bahak. Contohnya ucapan Tok Guru Nik Aziz, ceramah HAMKA (Allahyarham), pidato Hassan Ali, motivasi Dr. Ary Ginanjar Agustian dan ramai lagi.

 

iv. Memiliki pendengar/peminat yang ramai. Maka seseorang itu akan dikatakan sebagai seorang pemidato hebat.Contohnya Ustaz Azhar Idrus, Ustaz Kazim Elias dan Dr. Asri Zainal Abidin.

 

Hebat berpidato merupakan pakej impian bagi seseorang ahli politik. Senjata utama  yang perlu ada untuk berkempen dan membuktikan karisma dirinya. Kata-kata berbisa itu mampu mengubah dunia! Mampu menjadikan pengikutnya 'sujud' dan 'menyerahkan segala-galanya'. Dalam sejarah dunia, kita boleh saksikan orang sebegini. Antaranya ialah Adolf Hitler, Sukarno, Martin Luther King dan terkini Barrack Obama serta Anuar Ibrahim.

 

Akhir-akhir ini 'bisness air liur' ini begitu menjadi. Ramai yang dah jadi jutawan kerana kelebihan ini. Mereka membuka syarikat perunding motivasi bina insan dan latihan sumber manusia. Kursusnya mampu menarik minat ribuan manusia. Sudah pasti pendapatannya juga boleh angkat ibu jari. Soalnya, bagaimana kita mahu menjadi seperti mereka ini ? Persiapkan diri dengan 7 PANDUAN INI ;


     1. Unsur dalaman/kerohanian. 

Ikhlaskan niat kerana Allah. Cuba/latih/wajibkan berucap daripada lubuk hati yang paling ikhlas. Ucapan daripada hati akan jatuh ke hati pendengar. Jika ucapan itu sekadar di bibir sahaja maka ianya akan keluar dari telinga kiri ke telinga kanan  pendengar sahaja. Hati/Jiwa mesti digilap bersih dan perlu menjadi orang yang cakap serupa bikin. Hasilnya, pendengar akan terkesan ketika mendengar ucapan orang sebegini. Menimbulkan kesedaran untuk berubah dan menjentik mindanya untuk berfikir.


2. Banyakkan membaca dan belajar pelbagai ilmu pengetahuan. 

Ilmu sebagai modal untuk berceramah. Jika kurang modal, tak boleh berniaga. Sebab itu, ada segelintir penceramah asyik mengulangi isi atau cerita yang sama sahaja, sehinggakan pendengar dah tahu apa isi ceramah dan bentuk lawak jenakanya. 


3. Menggunakan pendekatan bercerita. 

Sama ada cerita benar atau dongeng. Paling penting ialah mesej yang hendak disampaikan. Pendekatan ini digemari oleh semua lapisan pendengar. Ketika bercerita, cuba selitkan unsur-unsur humor yang tidak melampau.


4. Bagi  ceramah Agama sebaiknya perlu dimulakan dengan petikan ayat al Quran atau al hadith Nabi saw. Selain sebagai isi ceramah, ia juga mampu menambahkan keberkatan.


5. Berlatih dan berlatih sepanjang masa. 

Di hadapan cermin, sambil memandu dan sebagainya. Rakam ucapan itu dan bagi peluang kepada kawan yang memahami sahaja untuk bagi komen  yang membina. Mulakan latihan berucap dalam kelompok kecil (2 atau 3 orang) dan seterusnya kepada penonton yang lebih besar. Susunkan idea yang hendak disampaikan . Bermula dengan pengenalan, Isi, contoh dan huraian. Semua ini dapat mengelakkan kita hilang idea terutama bagi pendatang baru.


6. Untuk mengelakkan gugup, 

Banyakkan membaca surah al Insyirah, berselawat, menarik nafas serta meminum air. Selain itu, kaedah pegang sesuatu di tangan (Pen) juga boleh diamalkan. Ketika berucap, tangan mesti digerakkan mengikut apa isi yang diceramahkan. Pandang kepada muka pendengar yang berwajah ceria dan bercakap dengan pendengar yang boleh diajak berbincang sahaja. Jangan tanya soalan berat yang menyebabkan pendengar terpaksa berfikir panjang sehingga tak tidur!!!


7. Latih diri berfikiran positif 

Sentiasa memaafkan diri andainya tersilap langkah dalam latihan ini. Anggaplah pendengar kita itu mendengar ucapan kita dengan penuh minat. Paling penting sekali biarlah kita menyampaikan ucapan itu ikhlas kerana Allah semata-mata. 


Insya-Allah panduan ini berguna bagi mereka yang baru nak berjinak-jinak dalam dunia pengucapan awam ini. SELAMAT MENCUBA.

3 Responses to "7 KRITERIA PENCERAMAH HEBAT"

syaayu said...

boleh djadikan panduan...tq...

~aSHa~ said...

ceramah dato' fadli sgt sy sukai...

SAMF said...

Assalamualaikum.

bolehkah kiranya saya kongsikan tujuh tips ni di dalam buku saya?

Syafiq Aizat
017 592 5439
Professional learning Facilitator

Jaringan Berita