Terkini

Semangat yang hilang

Geraf kehidupan ini sepertilah cuaca dunia. Ada masanya kemarau, banjir, musim bunga, musim luruh dan sebagainya. Begitulah halnya dengan jiwa manusia. Ada saatnya kita rasa teramat bahagia kehidupan ini. Rasanya macam tak mahu mati. Tetapi pada ketika yang lain pula, kita rasakan kehidupan ini terlalu zalim dan tidak adil. Penuh penyeksaan yang menyebabkan kita hilang semangat untuk hidup!



Kenapa jiwa kita terlalu lemah dan sering tewas dengan permainan hidup ini ? Kenapa kita selalu mengeluh dan menyalahkan orang lain bila kita gagal ? Kenapa kita sanggup berfikiran negatif dan tidak menghargai diri sendiri ? Kenapa ada masanya kita terlalu bencikan diri sendiri, merasa tidak berguna, bodoh, tak dihargai dan sebagainya. Ada saatnya kita seakan hilang arah dalam kehidupan ini. Jiwa terasa kosong dan tidak bermakna.Tiada tujuan dan hilang pertimbangan. Soalnya KENAPA ???

Renunglah ke dalam diri sendiri. Kerana kebahagiaan yang dicari itu terletak di situ. Rasakan dengan penuh keikhlasan hatimu dan jawablah tiga persoalan penting. Dari mana aku datang. Apa tujuan aku di sini dan ke mana kesudahannya.

Segala penyakit dan punca masalah berpunca dari hati. Kata Nabi SAW: Hati adalah penentu perlakuan buruk baiknya seseorang manusia. Ertinya kalau manusia itu baik, hasil dari kejernihan hatinya. Begitulah sebaliknya. Jernihkan hati dari karat-karatnya dengan cara berikut :

i.  Elakkan dan jauhi pencemaran pancaindera dengan aktiviti maksiat atau dosa. Dosa mata, telinga, lidah, tangan dan sebagainya. Semua ini adalah saluran kemasukkan titik noda ke dalam hati. Setiap maksiat dan dosa itu akan membintikkan satu titik hitam di dalam hati. Jika seribu kali bebuat maksiat bermakna seribu titik hitam akan melekat kukuh di hati manusia.

Bila hati sudah gelap dan berkarat dengan titik noda ini cahaya petunjuk dari Ilahi tidak akan singgah. Hiduplah kita tanpa arah tujuan dan merana tanpa pergantungan. Terasa kosong dan tidak ada tempat mengadu lagi bila tersepit.

ii. Membersihkan hati dari sifat dengki dengan kelebihan orang lain. Sudah menjadi tabiat manusia tidak akan bersyukur dengan apa yang ada sebaliknya sering melihat apa yang dia belum miliki.

Suka membandingkan nikmat yang ada antara satu sama lain dan berbangga dengannya. Virus dengki akan melahirkan dendam kesumat. Bila ada dendam akan timbul perbalahan dan masam muka. Akhirnya putus silaturahim dan hidup manusia akan hilang serinya. Di sana sini ada musuh. Terasa diri dipulau dan semua orang adalah musuh, bukan lagi sahabat. Gelapnya kehidupan ini.

iii. Jangan berfikiran negatif ketika berhadapan dengan ujian hidup. Sentiasa berfikiran positif. Semua itu adalah ujian Tuhan untuk menguji kesabaran dan satu proses kematangan kepada kita.

Setiap yang berlaku itu pasti ada kebaikkannya. Jangan menafikan dan mengeluh dengan dugaan hidup. Merintih dan mengamuk tak tentu pasal, kerana terasa diri dianiaya oleh Pencipta...MasyaAllah....

iv. Punca hati mati dan hidup berserabut juga kerana kita sendiri yang menjauhkan diri daripada Zat yang maha tenang iaitu Allah Azzawajalla. Zat yang maha kuat dan maha berkuasa ke atas segala sesuatu. Jika selalu berdamping dengannya jiwa akan kuat dan hebat sebagaimana generasi silam. Jalan Taqwa diperolehi dengan mengerjakan segala suruhannya dan meninggalkan larangNya.

Kita juga kurang berdoa dengan yakin kepada Allah SWT. Apa yang kita mahukan dalam kehidupan ini. Mengadulah kepadaNYa. Mohonlah kepadaNya. Yakinlah Allah SWT sentiasa bersama kita dan akan memperkenankan permohonan ini. Ringan-ringan diri untuk bangun bermunajat di sepertiga malam. Menangislah sepuasnya. InsyaAllah akan diberi jalan keluar dari kemelut kehidupan ini dengan cara yang kita tidak sangka-sangka....

v.  Bertaubat sentiasa. Sabda Nabi SAW : Setiap anak Adam itu berdosa, dan sebaik-baik pendosa itu ialah orang yang bertaubat. Oleh itu selalulah melazimkan diri dengan bertaubat dan berazam untuk tidak mengulangi dosa silam. Dosa punca kehidupan menjadi sempit, rezeki kurang dan jiwa berserabut. 

vi. Melazimkan diri dan membudayakan amalan membaca alQuran walau di mana sahaja. Kerana Alquran itu hati orang Mukmin dan petunjuk yang sentiasa menghidupkan hati-hati yag lalai dan mati. Kita akan memperolehi kenikmatan, kelapangan dan idea yang mencurah curah jika selalu berdamping dengan kalam suci ini. Wajah akan berseri dan fikiran akan tenang setenang-tenangnya...

vii. Latih diri untuk mendapat khusyuk dalam solat dan hadir hati. Fahami makna dan falsafah sebenar solat yang menjadi benteng diri yang ampuh dari kejelekkan. Rajin-rajinkan diri dengan tafakur dan merenung kejadian diri sendiri. Kita akan ditemukan jalan pulang.

viii. Selalu mendengar peringatan melalui majlis-majlis ilmu di masjid, televisyen, radio dalam kereta dan sebagainya. Sesungguhnya tazkirah itu akan melembutkan hati manusia yang sentiasa berubah-rubah. Majlis sebegini akan memberi keseimbangan kepada minda agar tahu arah tuju perjalanan selepas ini.

viiii. Hormati dan sanjungilah orang sekeliling. Terutama ibu bapa, suami/isteri dan rakan taulan serta jiran tetangga. Panjangkan hubungan silaturahim ini. Kerana orang yang memanjangkan ukhuwwah, nescaya akan dipanjangkan umur dan dimudahkan rezekinya.

Amalkan doa ini untuk mengelakkan dari 8 penyakit ;

}اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنْ الْهَمِّ وَالْحَزَنِ وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ الْعَجْزِ وَالْكَسَلِ وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ الْجُبْنِ وَالْبُخْلِ وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ غَلَبَةِ الدَّيْنِ وَقَهْرِ الرِّجَالِ

Ya Allah ya Tuhanku aku mohon berlindung daripadaMU dari 8 penyakit ini

}SERABUT/SUSAH HATI
}KESEDIHAN
}LEMAH
}MALAS
}PENAKUT
}BAKHIL
}DIBELENGGU HUTANG
}DIBULI/DIPENGARUHI/DITEKAN ORANG

Amalkan sentiasa terutama selepas solat fardu. InsyaAllah anda akan lihat kesannya nanti. Untuk lebih lanjut sila rujuk bacaanya di dalam al Ma'thurat.


Akhirnya kutemui kebahagiaan hidup



Yakinlah, Allah SWT akan membantu kita untuk menemukan sebuah kebahagiaan yang hakiki, hidup yang bersemangat jika kita bersungguh mengusahakannya. Ya Allah jadikanlah kami hambaMU yang bertaqwa dan bahagia sentiasa. Amin...

1 Response to "Semangat yang hilang"

gina marna said...

Terima kasih al fadhil...

Jaringan Berita