Monday, April 1, 2013

7 KRITERIA PENCERAMAH HEBAT

" Saya seorang yang gugup dan cepat kering idea bila berhadapan dengan penonton. Saya gabra bila melihat ratusan dan mungkin ribuan mata-mata merenung ke arah saya. Lidah menjadi kelu. Saya tidak pandai berlawak jenaka macam ustaz Azhar Idrus dan kurang ilmu untuk dikongsikan. Suara pula tidak parau macam suara Hj Hadi, malah leweh pula bunyinya! " 

Hebat berpidato satu anugerah, tetapi boleh dipelajari

 Itulah antara luahan bagi seseorang yang baru berjinak-jinak dalam dunia pengucapan awam ini. Yang pastinya, semua orang bermula dari kosong. Paling penting kita mahu belajar.

Friday, September 7, 2012

KAROMAHNYA SEORANG IBU (BUAT CALON UPSR)



Cepatnya masa berlalu. Rupanya anak sulung aku salah seorang daripada 497,691 orang calon Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) bagi tahun 2012. Teringat pula  saat-saat aku menghadapi peperiksaan Penilaian darjah lima dulu, sekitar tahun 1985. Sudah pasti, suasana persiapan dan sikap masyarakat pada hari ini jauh berbeza dengan dulu. Semoga segala apa yang diusahakan oleh anak aku dan pihak sekolah akan membuahkan hasil lumayan. 5A dalam genggaman, InsyaAllah.




            Pada kesempatan ini, aku ingin kongsikan dua kisah benar lagi menarik untuk direnungkan, khususnya buat yang bergelar ibubapa. Lebih menyakinkan lagi, mereka yang terlibat dalam kisah ini masih hidup dan boleh ditemubual pada bila-bila masa. Satunya berlaku di Rantau Panjang dan satu lagi di Kubang Kerian, Kelantan.

            Seperti biasa, si anak lelaki ini dibesarkan dalam sebuah keluarga yang amat dhaif di sebuah kampong di Rantau Panjang Kelantan. Latar cerita ini sekitar tahun 80-an. Umumnya, orang kampong masih lagi bergelut dengan pusaran ganas kemiskinan. Untuk ke sekolah, si anak akan dibekalkan dengan masakan air tangan ibunya. Nasi goreng, Mi goreng, Jepput dan sebagainya adalah menu popular. Akibat kemiskinan, anaknya ke sekolah dengan poket kosong berlatarkan baju sekolah yang lusuh.

            Suatu hari, anaknya memberitahu  pagi esok peperiksaan besar akan bermula. Ibu yang buta huruf itu, buat-buat tengok jadual peperiksaan yang diitunjukkan oleh anaknya. Seperti biasa, sudah pasti seorang ibu akan  mengharapkan sesuatu yang terbaik untuk anaknya itu.

            Ringkas cerita, setelah keputusan peperiksaan diumumkan ternyata anak lelakinya itu berjaya dengan cemerlang dan tergolong dikalangan pelajar terbaik di sekolah berkenaan. Syukur alhamdulilah. Ketika ditanya, apa rahsia atau petua si ibu tua ini dalam mendidik atau memberi dorongan kepada kejayaan anaknya. 

Si ibu yang buta huruf dan tidak berpendidikan ini hanya menjawab “ Setiap pagi ketika anaknya sedang berjuang di dalam dewan peperiksaan, setiap kali itulah dia akan duduk di atas tikar sejadah (Sembahyang) dan berdoa kepada Allah swt sepanjang hari agar memberi yang terbaik untuk anaknya itu “…Subhanallahhhhh !!!!…..Hari ini, anak si miskin itu tadi telah menjadi seorang professor di salah sebuah IPTA di Pantai Timur.

                   Kisah kedua pula berlaku di sebuah kampong di Kubang Kerian, Kelantan. Si anak ini dibesarkan dalam sebuah keluarga yang susah lantaran sikap baran dan pemalas bapanya seorang kaki judi dan penjenayah tegar. Keluar masuk penjara adalah rutin bulanan. Mencuri, memeras ugut, jenayah adalah perkara biasa.

Sebut saje namanya semua orang kampong akan kenal. Pendek kata, di mana ada dia, di situlah ada huru hara ! Hal anak-anak diserahkan sepenuhnya kepada isteri. Mempunyai lapan orang anak yang rapat-rapat jarak kelahirannya.

            Si ibu pula seorang wanita klasik dan ‘kampong’. Tidak tahu apa-apa mengenai dunia persekolahan. Jauh sekali untuk mengajar subjek bahasa Inggeris atau matematik. Tetapi si ibu ini mempunyai satu keinginan yang tinggi untuk melihat anaknya berjaya dan tidak mewarisi kebobrokan bapanya. Disiplin adalah teras dalam mendidik kelapan-lapan anaknya. Bayangkan dengan kekangan kewangan yang terbatas beliau masih mampu membesar dan mendidik anak-anaknya.

Caranya ialah, setiap malam selepas solat maghrib beliau akan mempastikan anak-anaknya membaca al Quran dan membuat kerja sekolah. Tidak dibenarkan sama sekali keluar rumah, tidur dan sebagainya. Televisyen memang confirm tak ada lantaran kemiskinan. Si sibu ini hanya tahu memegang rotan mengawasi aktiviti anak-anaknya itu. Itu sahaja tugas seorang ibu yang tidak berpendidikan ?

Tetapi, berkat usahanya yang yang dilihat mudah itu, pada hari ini kesemua anak-anaknya itu berjaya belajar di universiti dan mempunyai pekerjaan yang hebat. Paling penting, kesemua anaknya itu tidak mabuk laut atau lupa daratan.

            Inilah dua kisah yang perlu direnungi oleh sesiapa sahaja yang bergelar ibu dan bapa dalam mendidik anak-anak. Duit, kesenangan, tuisyen dan sebagainya bukan satu jaminan untuk menikmati kejayaan. Paling penting lagi ialah cemerlang dalam akademik semata-mata bukanlah pengukur kejayaan mutlak. Sebaliknya, cemerlang dalam akhlak adalah paling utama untuk kesenangan masa hadapan.

            Ya Allah kurniakan kepada kami anak yang soleh, cemerlang dan berjasa untuk agama, bangsa dan negaranya….Amin…..


Sunday, June 17, 2012

TANDA-TANDA 'DIA' JODOH KITA

10 petanda, dia adalah jodoh kita...



Bersahaja

Kekasih kita itu bersikap bersahaja dan tidak berlakon. Cuba perhatikan cara dia berpakaian, cara percakapan, cara ketawa serta cara makan dan minum. Adakah ia spontan dan tidak dikawal ataupun kelihatan pelik. Kalau ia nampak kurang selesa dengan gayanya, sah dia sedang berlakon. Kadang-kadang, kita dapat mengesan yang dia sedang berlakon. Tetapi, apabila dia tampil bersahaja dan tidak dibuat-buat, maka dia adalah calon hidup kita yang sesuai. Jika tidak, dia mungkin bukan jodoh kita.

Senang bersama

Walaupun kita selalu bersamanya, tidak ada sedikit pun perasaan bosan, jemu ataupun tertekan pada diri kita. Semakin hari semakin sayang kepadanya. Kita sentiasa tenang, gembira dan dia menjadi pengubat kedukaan kita. Dia juga merasainya. Rasa senang sekali apabila bersama. Apabila berjauhan, terasa sedikit tekanan dan rasa ingin berjumpa dengannya. Tidak kira siang ataupun malam, ketiadaannya terasa sedikit kehilangan.

Terima kita seadanya

Apapun kisah silam yang pernah kita lakukan, dia tidak ambil peduli. Mungkin dia tahu perpisahan dengan bekas kekasihnya sebelum ini kita yang mulakan. Dia juga tidak mengambil kisah siapa kita sebelum ini. Yang penting, siapa kita sekarang. Biarpun dia tahu yang kita pernah mempunyai kekasih sebelumnya, dia tidak ambil hati langsung. Yang dia tahu, kita adalah miliknya kini. Dia juga sedia berkongsi kisah silamnya. Tidak perlu menyimpan rahsia apabila dia sudah bersedia menjadi pasangan hidup kita.

Sentiasa jujur

Dia tidak kisah apa yang kita lakukan asalkan tidak menyalahi hukum hakam agama. Sikap jujur yang dipamerkan menarik hati kita. Kejujuran bukan perkara yang boleh dilakonkan. Kita dapat mengesyaki sesuatu apabila dia menipu kita. Selagi kejujuran bertakhta di hatinya, kebahagiaan menjadi milik kita. Apabila berjauhan, kejujuran menjadi faktor paling penting bagi suatu hubungan. Apabila dia tidak jujur, sukar baginya mengelak daripada berlaku curang kepada kita. Apabila dia jujur, semakin hangat lagi hubungan cinta kita. Kejujuran yang disulami dengan kesetiaan membuahkan percintaan yang sejati. Jadi, dialah sebaik-baik pilihan.

Percaya Mempercayai

Setiap orang mempunyai rahsia tersendiri. Adakalanya rahsia ini perlu dikongsi supaya dapat mengurangkan beban yang ditanggung. Apabila kita mempunyai rahsia dan ingin memberitahu kekasih, adakah rahsia kita selamat di tangannya? Bagi mereka yang berjodoh, sifat saling percaya mempercayai antara satu sama lain timbul dari dalam hati nurani mereka. Mereka rasa selamat apabila memberitahu rahsia-rahsia kepada kekasihnya berbanding rakan-rakan yang lain. Satu lagi, kita tidak berahsia apa pun kepadanya dan kita pasti rahsia kita selamat. Bukti cinta sejati adalah melalui kepercayaan dan kejujuran. Bahagialah individu yang memperoleh kedua-duanya.

Senang Bekerjasama

Bagi kita yang inginkan hubungan cinta berjaya dan kekal dalam jangka masa yang panjang, kita dan dia perlu saling bekerjasama melalui hidup ini. Kita dan kekasih perlu memberi kerjasama melakukan suatu perkara sama ada perkara remeh ataupun sukar. Segala kerja yang dilakukan perlulah ikhlas bagi membantu pasangan dan meringankan tugas masing-masing. Perkara paling penting, kita dan dia dapat melalui semua ini dengan melakukannya bersama-sama. Kita dan dia juga dapat melakukan semuanya tanpa memerlukan orang lain dan kita senang melakukannya bersama. Ini penting kerana ia mempengaruhi kehidupan kita pada masa hadapan. Jika tiada kerjasama, sukar bagi kita hidup bersamanya. Ini kerana, kita yang memikul beban tanggungjawab seratus peratus. Bukankah ini menyusahkan?

Memahami diri kita

Bagi pasangan yang berjodoh, dia mestilah memahami diri pasangannya. Semasa kita sakit dia bawa ke klinik. Semasa kita berduka, dia menjadi penghibur. Apabila kita mengalami kesusahan, dia menjadi pembantu. Di kala kita sedang berleter, dia menjadi pendengar. Dia selalu bersama kita dalam sebarang situasi. Tidak kira kita sedang gembira ataupun berduka, dia sentiasa ada untuk kita. Dia juga bersedia mengalami pasang surut dalam percintaan. Kata orang, ‘lidah sendiri lagikan tergigit, inikan pula suami isteri’. Pepatah ini juga sesuai bagi pasangan kekasih. Apabila dia sentiasa bersama kita melalui hidup ini di kala suka dan duka, di saat senang dan susah, dialah calon yang sesuai menjadi pasangan hidup kita.

Tampilkan kelemahan

Tiada siapa yang sempurna di dunia. Tipulah jika ada orang yang mengaku dia insan yang sempurna daripada segala sudut. Pasti di kalangan kita memiliki kelemahan dan keburukan tertentu. Bagi dia yang bersedia menjadi teman hidup kita, dia tidak terlalu menyimpan rahsia kelemahannya dan bersedia memberitahu kita. Sudah tentu bukan senang untuk memberitahu dan mengakui kelemahan di hadapan kekasihnya. Malah, dia tidak segan mempamerkan keburukannya kepada kita. Misalnya, apabila dia bangun tidur ataupun sakit dan tidak mandi dua hari, dia tidak menghalang kita daripada melawatnya. Apabila kita dan dia saling menerima kelemahan dan sifat buruk masing-masing, memang ditakdirkan kita hidup bersamanya.

Kata hati

Dengarlah kata hati. Kadangkala, manusia dikurniakan Tuhan deria keenam yang dapat mengetahui dan memahami perasaan pasangannya. Dengan deria batin ini juga kita dapat saling tahu perasaan masing-masing. Kita dan dia juga dapat membaca fikiran antara satu sama lain dan dapat menduga reaksi dan tindak balas pada situasi tertentu. Apabila kita yakin dengan pilihan hidup kita, tanyalah sekali lagi. Adakah dia ditakdirkan untuk kita? Dengarlah kata hati dan buatlah pilihan. Serahlah segalanya pada ketentuan yang maha berkuasa.

Mimpi

Jodoh dan pertemuan semuanya di tangan Tuhan. Manusia hanya perancang di pentas dunia ini dan skripnya ditulis oleh yang maha esa. Adakalanya, dalam memainkan peranan sebagai pelakon, diberi petunjuk melalui mimpi. Mimpi memang mainan tidur, tetapi apabila kita melakukan sembahyang Istikharah dan memohon supaya Tuhan memberikan petunjuk, insya-Allah dengan izinnya kita mendapat mimpi petunjuk. Jika dia pilihan kita, buatlah keputusan sebaiknya. Jika tidak, tolaklah dia dengan baik. Semua yang kita lakukan ini adalah bagi mendapatkan kebahagiaan hidup di dunia. Ingatlah, nikmat di dunia ini hanya sementara. Nikmat di akhirat adalah kekal selamanya. Fikirkanlah. Adakah dia jodoh kita?

Monday, March 26, 2012

Fenomena Azan

Sedar atau tidak rupanya azan sentiasa berkumandang di seluruh pelusuk dunia pada setiap masa. MasyaAllah ...Subhanallah....Seruan sentiasa ada, tinggal lagi berapa ramai yang menyahutnya. Semoga kita tergolong dalam kelompok yang menyahut panggilan azan itu...

Pernahkah kita melaungkan azan ?
 Bermula dengan laungan azan subuh di Timur Indonesia di Kepulauan Silibis pada jam 5.30 pagi, beribu surau dan masjid bersahutan mengumandangkan azan. Antara timur dan barat kepulauan Jawa mempunyai perbezaan waktu sebanyak satu setengah jam. Azan akan bersahutan dalam jangka waktu ini, diikuti oleh Sumatera. 

Sebelum ianya berakhir di Indonesia, ia telah bermula di Malaysia, diikuti oleh Myanmar dan China. Dalam waktu 1 jam setelah ia bermula di Jakarta, azan bermula di Dhaka, Bangladesh dan berlarutan hingga ke barat India. Dari Calcutta dan Lakhnow seterusnya ke Mumbai dan Sri Nagar dan keseluruhan Kashmir. Seluruh bandar ke utara Pakistan juga mula mengumandangkan azan terus bersahutan. 

Sebelum azan berakhir di Pakistan, ia pula bermula di Afghanistan dan Muscat. Antara Muscat dan Baghdad perbezaan waktu ialah 1 jam dan dalam waktu sejam ini azan subuh mula berkumandang di United Arab Emirates, Kuwait, Yemen, Somalia dan Saudi Arabia. 

Antara Baghdad dan Keherah di Mesir mempunyai jangka perbezaan waktu juga 1 jam. Azan masih berkumandang Syria, Jordan dan Sudan dalam jangka waktu itu. Kaherah dan Instanbul terletak dalam jangkawaktu yang sama. Antara timur dan barat Turki mempunyai jangkamasa sebanyak 1 1/2 jam. Kaherah dan Tripoli ibu kota Libya mempunyai 1 jam perbezaan waktu. 

Dari Libya azan bersambung ke Tunisia, Algeria, Rabat ibu negara Morocco dan Marrakech. Proses seruan azan berterusan silih berganti menyelubungi seluruh negara Afrika. Laungan azan yang bermula di timur Indonesia waktu subuh sampai ke perairan lautan Atlantik selepas 9 jam. Tetapi sejurus sebelum azan dikumandangkan di perairan lautan Atlantik, ianya telah bermula kembali di timur Indonesia menandakan masuk waktu Zohor. 

Sebaik azan Zuhur tiba di Dhaka, azan Asar pula bermula di timur Indonesia. Selang beberapa jam kemudian, azan Maghrib pula bermula. Sebelum azan Maghrib mula dikumandangkan di Sumatra, azan Isyak pula mula kedengaran di timur Indonesia. 

Direnungkan kembali berpuluh ribu Mu'azzin (Tukang azan/Bilal) di seluruh dunia bersahutan menyeru azan menyatakan kebesaran Allah, Syahadah dan seterusnya. Insya-Allah azan ini akan berterusan sehingga ke akhir zaman. Laungan azan merupakan satu fenomena yang agong yang akan sentiasa bertahkta di setiap sanubari umat Islam dan juga menandakan keagungan Islam.

Sumber : fixurproblem.blogspot.com


Monday, March 19, 2012

Indahnya hidup ini...

Sudah lama aku mengimpikan hidup seperti hari ini. Alhamdulilah, doa sudah termakbul sedikit sebanyak. Gaya hidup idaman, seperti ini :

Belajar, baca dan amal al Quran dalam hidup

* Dapat bergaul dengan orang kampung dan merasai denyut nadi yang melingkari kehidupan golongan marhaen ini. Cuba membantu mereka sekadar yang termampu. Menjadi penghubung antara rakyat dan kerajaan. Hidup cara kampung yang simple, penuh dengan semangat kejujuran dan muafakat.

* Menghidupkan masjid dengan aktiviti pembangunan diri. Buat majlis belajar alQuran, menyampaikan kuliah Agama, buat program sukan rakyat, hari terbuka masjid dan sebagainya. Alhamdulilah segalanya berjalan lancar. Begitu teruja orang kampung bila kita datang membantu mereka. Mereka cukup gembira dengan majlis keramaian sebegini. Mungkin kesan baiknya akan dapat dilihat 2 hingga 5 tahun akan datang.

*  Menghimpunkan kaum keluarga di rumah aku seminggu sekali untuk belajar alQuran, kuliah Fiqh semasa dan berbincang masalah mereka serta mencari jalan penyelesaian. Terasa begitu akrab perhubungan kekeluargaan. Selepas majlis kita semua makan bersama anak sedara dan lain-lain yang berjumlah 40 orang ! Meriah dan bahagia sangat.

* Sedang mengumpul dana untuk menjalankan perniagaan berorientasikan keluarga. Boleh beri peluang pekerjaan kepada yang masih menganggur. Bila banyak duit boleh bawa mereka melancong di dalam atau luar negara. Tentunya detik ini paling membahagiakan.

* Bila timbul apa-apa masalah dalam keluarga, kita perlu bertindak pantas untuk merungkaikannya secepat mungkin. Tidak boleh dibiarkan barah itu merebak sewenang-wenangnya.

* Menyediakan gelanggang untuk bersukan. Baik lelaki atau wanita. Biar mereka tonjolkan bakat dan kebolehan yang terpendam.

* Menekankan pendidikan anak-anak kampung dengan mewujudkan perpustakaan desa, menganjurkan kursus kecemerlangan dan kelas-kelas bahasa. Melatih mereka menjadi Imam, Bilal, berpidato dan sebagainya. Tentunya kenangan zaman kanak-kanak yang indah ini akan tersemat dihati mereka sampai bila-bila. Apabila dah jadi orang besar nanti harapnya mereka akan meneruskan tradisi ini.

* Indahnya kehidupan ini. Kalau lah usaha ini dapat diperluaskan ke seluruh negeri dan negara tentunya akan ramai lagi rakyat Malaysia yang akan hidup bahagia. Negeri akan aman damai. Inilah yang dikatakan " Baldatun Toyyibatun, warrabun ghafur " .

* Cubalah buat agenda sebegini untuk merapatkan hubungan kekeluargaan sesama kita . Hari ini hubungan  kejiranan dan kaum kerabat semakin hari semakin longgar. Alasannya " kesibukan......"

Indahnya kehidupan ini




Sunday, February 19, 2012

Puas hati dapat kalahkan Kelantan ...

Semua team ingin memadam impian besar TRW. Bangga dan puas hati sangat bila dapat rebahkan gergasi merah ini. Rasa macam hebat dan sudah menang satu piala berprestij ! Ada sesetengahnya sanggup 'buat pulut kuning' bila Kelantan tumpas.

Tengok saje komen-komen di alam siber apabila Selangor mencalarkan rekod unbeaten Kelantan tempohari (2-1). Antara komen yang menarik :

*** Puas hati sungguh dapat pecahkan rekod tanpa kalah Kelantan...

*** Puas hati aku dapat leburkan ego penyokong Kelantan....

*** Menyampah betul aku dengan penyokong fanatik TRW...

*** Suka sangat hari ni, Kelantan kalah..

*** Hanya Selangor yang mampu leburkan ego TRW.....

Selain itu, cuba baca pandangan penyokong, pengkritik dan peminat TRW :

*** First few games hampir semua kutuk ghaddar, bila dia dibuang semua kata dia lebih baik. first few games semua kutuk antwi,bila mamat tu score lwn kedah semua puji melambung.musim 2010 bila coach sathia byk beri keputusan seri, penyokong bertempik2 dlm stadium minta dia letak jawatan...at last dia bw first piala ke negeri cik siti wan kembang semua puji beliau sehingga kembang.Dato' karathu juga apa kurangnya dikutuk dan disuruh letak jawatan dan dibandingkan dgn sathia...in the end dia membawa kejayaan liga super kpd pasukan dan naib juara FA.

*** KAFA's president is a politician. So, the way he manage KAFA, players and other is also following his political thinking. To be honest, I'm respect for all his effort to develop KAFA, however he always put his political thinking on top of everything's. The way he managed the late kickstart's issue was also related to that.
 
Semangat berpasukan kunci kejayaan dan keseronokkan bekerja

Paling panas dan mengegarkan bumi Kelantan ialah isu ini. Tapi khabarnya sudah diselesaikan dengan baik. Alhamdulilah, Semua pihak harus pandang ke depan. Ribut di dalam cawan.

Itulah reputasi dan prestij TRW. Diminati dan dibenci ! Mungkin orang benci dengan sikap segelintir penonton yang berlebihan memprovokasi pihak lawan. Walaupun ia juga berlaku kepada penyokong pasukan lain . Ada yang sanggup memukul dan membaling objek keras kepada penyokong TRW. 

Ada yang cedera, mati dan sebagainya. Malah ada juga kelab penyokong team lain yang sanggup membakar bendera Kelantan ! Dahsyat sungguh. Tindakan ini memang melampau dan tiada langsung semangat kesukanan. Jangan sampai jadi macam perlawanan bolasepak di Mesir sudahlah. 

Mungkin juga orang kurang senang dengan sikap 'riuh sekampung' pihak pengurusan di media. Seolah-olah  terlalu ingin menonjolkan TRW dalam segenap segi. TRW dah jadi macam kelab Real Madrid. Semua pemain bintang dan terbaik akan berada di sini. Tetapi ingat, deretan pemain berkualiti sahaja bukan satu jaminan.Banyak lagi faktor lain yang perlu diambil pusing.

Satu lagi, apa sebabnya semua Awang import Kelantan tidak menonjol ? Jawabnya mudah, kerana kebanyakan pemain sedia ada sebenarnya terlebih hebat daripada import. Macam mana Awang import tu nak menonjol. Mereka makin tenggelam dan tidak seperti yang digembar gemburkan. Atau mungkin juga kehebatan sebenar mereka masih tersembunyi dan tidak menemui sentuhannya. Sama-sama kita tunggu. 

Faktor kedua, mungkin isu keserasian antara pemain. Atau mungkin juga TRW tersilap pilih pemain. Cerita pencarian player import ini seperti proses beli baju bundle di pasar minggu. Cari kalut-kalut dan bila tak sesuai terus buang. Sudah pasti membazir masa dan wang.

Apapun perjalanan masih jauh. Liga Super, Piala FA  atau AFC Cup.  Kelantan perlu mengekalkan reputasinya selaku jagoan Pantai Timur. Team pengurusan, jurulatih dan penyokong mesti tahu tugas masing-masing dan berperanan secara profesional. Mungkin TRW perlukan sepuluh tahun lagi untuk muncul sebagai sebuah persatuan bolasepak elit, profesional dan disegani di negara ini. 

Wednesday, February 15, 2012

Rasa nak main gitar ...

Zaman remaja dulu, minat sangat dengan gitar kapak. Seakan terlopong bila tengok kumpulan rock kapak era 80 dan 90-an dulu men'goreng' gitar yang berbentuk bintang tu. Gitaris seperti Joe (Wings), Awang (BPR), Kid (Search), Hilliary Ang dan Man Kidal memang menjadi pujaan hati. Hebat sungguh kuasa gitar ni.


Zaman muda dulu, waktu malam banyak diisi dengan program-program keAgamaan di masjid. Dengar kuliah, belajar al Quran, menghafal sifat 20 puluh, belajar silat dan sebagainya. Tapi sebelum sampai ke masjid  tu biasanya kita lepak-lepak dulu dengan geng 'Mat Rock Cintan' kat tepi jalan. Suka dan minat sangat  tengok geng tu main gitar. Masa tu lagu paling top Misteri Mimpi Syakila, Taman Rashidah utama, Fenomena, Isabella, Bunga larangan, Masih aku terasa dan lagu daripada ratu rock Ella.

Sesekali bila diberi peluang hampir putus tali gitar aku kerjakan. Kononnya mahu melepaskan gian. Bila ayah dan Mak tahu, mereka akan marah-marah. Katanya, jangan cuba memanjangkan 'siulan syaitan' itu. Ustaz yang bagi kuliah kat Masjid pun kata begitu. Itu pasal aku terselamat dan tak jadi pemain gitar handalan. Kalau tak ....Mungkin sekarang ni duk 'goreng' gitar kat mana-mana.

Seminggu sudah anak bertanya, " Hebatnya ustaz ni main gitar, di beranda masjid pula tu ", Boleh ke main gitar ni, Ustaz fardu ain kata tak boleh. Apa hukum main alat muzik ni ? Paling dia suka bila tengok seorang ustaz terkenal menunjukkan skill memetik gitar. Cukup menghiburkan. Ramai anak-anak muda yang tertarik dan mula terfikir bahawa Agama kita ni bukan Agama yang menyekat tetapi membimbing dan memandu manusia. Ertinya... "boleh".......dengan syarat...................

Lazimnya anak-anak muda ni ada stigma tersendiri kepada golongan ustaz dan kaki masjid .  Mereka begitu berfikiran negatif dan menganggap 'orang masjid' ini tidak faham jiwa mereka. Kerana itu mereka sukar untuk didampingi apatah lagi hendak menghampiri masjid. Ajaran Agama pula kadang-kadang ditampilkan seperti   ianya tidak meraikan fitrah manusia. Tidak boleh berhibur atau mengasah bakat terpendam. Sedangkan semua itu tidak ada masalah jika kena dengan syarat dan caranya.

Dulu mana ada penyanyi atau pelakon yang pakai tudung, sekarang ini sudah berlambak. Begitu juga dengan pengacara TV.  Dulu stesen TV cukup fobia dengan orang yang bertudung. Entah jembalang mana yang  telah masuk ke dalam minda si pembuat dasar ni. 

Hari ini golongan 'public figure' yang bertudung litup ini sudah terkenal dan menjadi pujaan ramai. Ramai juga remaja yang pakai tudung kerana mereka. Sudah pasti ini satu perkembangan yang sihat. Walaupun kadang-kadang mereka bertudung ala kadar dan kepala bertudung tetapi bahagian lain pula terbuka !

Tapi ingat.....seorang wanita yang menyanyi di hadapan lelaki yang bukan mahramnya dan majlis itu pula berlaku pergaulan bebas maka hukumnya haram. Kalau wanita buat show di hadapan kaum sejenisnya ok la.

Mutakhir ini pula, dengar-dengar kata ramai juga golongan artis, ahli muzik dan mat-mat Rock yang mula mendekati Agama lantaran pendekatan dakwah yang digunakan oleh Ustaz dan bekas artis tadi.  Baguslah kalau betul dapatan ini. Mereka membawa mesej ketuhanan dan kemanusiaan dalam persembahan. Pakain juga lebih bersopan dan beradat.

Sebetulnya banyak cara yang boleh digunakan untuk berdakwah. Paling utama ialah teknik dan pendekatan perlu berhikmah (alQuran 16:125). Tidak terhad  melalui medium ceramah di masjid atau padang terbuka sahaja. Ruang facebook, blog, lukisan, dan seni muzik dilihat lebih berkesan dan meluas. Perlu diingat, setiap orang ada bakat dan kebolehan yang berbeza dan tersendiri. Ada yang hanya pandai main gitar, tapi tak pandai berceramah. Ada yang pandai menyanyi tapi tak bijak menulis. Aku pula pandai main gitar, berceramah dan menulis! Ya Ke? He..he..he..

Justeru, apalah salahnya jika semua kebolehan ini kita adun dan serasikan untuk membimbing masyarakat ke arah SATU matlamat iaitu mendapat Keredaan Allah SWT.