"Budak-budak di sini (Anak Bina) majoritinya dah lakukan semua jenayah, kecuali bunuh mak bapak dia saje lagi belum buat." Tersentak hati aku bila mendengar frasa ayat ini semasa taklimat daripada PRO Pondok Inabah Kuala Nerang Kedah.
Sesi berzikir menghidupkan hati |
Daripada anak tokoh korporat, pemimpin negara, anak orang kenamaan sehinggalah anak petani biasa, semuanya ada di sini. Mereka dirawat dan diberi panduan untuk memulihkan diri dan mencari jalan pulang (Inabah).
Dari berhabis wang menyara anak dirumah, dan berterusan mereka mencemar nama baik keluarga, baiklah kita hantar ke sini. Lagi pun bayaran bulanannya bukanlah mahal sangat, cuma RM500.00 sahaja. Jelas seorang ibu pelatih ketika datang melawat anaknya.
Betapa siksanya hati ibu bapa apabila ada ahli keluarga yang menagih dadah. Habislah segala harta benda. Bergolok gadai dan malu seisi alam. Bila berlaku jenayah curi, ragut dan sebagainya orang akan tuduh anak kita punya angkara. Sanggupkah kita dengar zuriat keturunan digelar sampah masyarakat atau tengkorak hidup.
Minima rawatan selama enam bulan. Jika tidak berubah dilanjutkan kepada setahun dan seterusnya. Pada peringkat awal rawatan atau semasa sesi 'kurungan' macam-macam gelagat pelik dapat dilihat. Semuanya kerana tertekan yang amat sangat menahan ketagihan. Ada yang sanggup minum air kencing hatta memakan najisnya sendiri. Kerana mereka percaya di dalamnya masih ada saki baki dadah!
Dahsyat sungguh penangan dadah. Mereka sudah hilang nilai diri seorang manusia. Hancur sehancur hancurnya. Masya Allah. Wal iyaa zubillah...
Rutin harian bermula seawal jam 3.30 pagi. Para anak bina (Pelatih) perlu mandi taubat. Caranya, sebelum menjirus air ke badan, terlebih dahulu kita perlu berwuduk dan mandi wajib. Kemudian setiap jirusan air ke badan itu perlu dibaca sepotong ayat al Quran daripada surah al Mu'minun ayat 29, iaitu ;
Ya Allah Ya Tuhanku tempatkanlah aku pada tempat yang diberkati, dan engkau adalah yang sebaik-baik memberi tempat
Jirusan ini mestilah sebanyak 40 kali siraman dengan 40 kali bacaan ayat tersebut. Pada masa itu, niat dan bermohonlah pada Allah agar diberi kekuatan dan bimbingan dalam mencari jalan pulang. Kesannya cukup menakjubkan dan menenangkan diri.
Semacam mengalir satu kekuatan dan keazaman dalam diri untuk menjadi insan terbaik dan berguna. Selepas itu anak bina perlu solat taubat, solat hajat, tahajud, berzikir serta mengalunkan selawat Bani Hasyim.
Suasana pagi ketika itu cukup mendamaikan. Seakan-akan kita berada di satu perkampungan yang asing dalam dunia ini. Sukar untuk digambarkan dengan kata-kata, hanya mereka yang melaluinya saat ini sahaja mampu merasainya. Ohhhhhhh....tenangnya jiwa ini.
Selepas solat subuh, para pelatih akan diisi jiwanya dengan siraman ilmu, melalui kuliah subuh. Selepas mengerjakan solat dhuha mereka beramai ramai akan mengalunkan selawat Bani Hasyim. Cukup mendayu - dayu dan meruntun jiwa.
Sesi petang adalah ruang untuk beriadah dan mengeluarkan peluh. Mereka juga dibekalkan dengan kemahiran kursus mandiri yang dikawal selia oleh Pusat Giat Mara. Ramai graduan yang lahir dari pusat ini telah mampu membina hidup baru. Hidup yang lebih bermakna.
Mereka telah mengenal diri dan menemui jalan pulang. Mereka telah mengembalikan dirinya kepada fitrah insani. Bila hati telah hidup dan bercahaya mereka mampu berbakti kepada keluarga dan masyarakatnya. Inilah satu kejayaan besar yang tiada tolok bandingnya. Memanusiakan manusia !
Jika ada ruang masa, aku ingin sekali lagi ke sana. Jika ada rezeki ingin juga berkunjung ke Suryalaya Indonesia. Tempat lahirnya modul Pondok Inabah.
0 Response to "BELAJAR MENGENAL DIRI "
Post a Comment