Terkini

MEMILIKI DUA SYURGA

Sebenarnya Allah swt mengurniakan dua syurga kepada hamba-hambanya. Satu di dunia dan satu lagi di akhirat. Syurga di dunia ialah apabila kita memiliki sebuah keluarga yang bahagia. Keluarga yang didirikan di atas asas iman dan taqwa. Bukan keluarga yang di bina di atas asas nafsu dan keduniaan. Syurga di akhirat pula ialah kemuncak balasan kepada hambanya yang taat semasa hidup. Anugerah yang kekal bahagia tanpa noktah.

Taman Syurga
Keluarga bahagia bukan sebuah keluarga yang tidak menghadapi masalah. Juga bukan bermakna pasangannya sentiasa riang gembira dengan gurau senda. Juga bukan sebuah enteti yang diukur berdasarkan mata benda. Tetapi ia dinilai berdasarkan kriteria berikut :

Pertama : Ketua keluarganya (Suami) menjadi murrabbiy di dalam rumah. Mampu menjadi imam dan membimbing ahlinya mengenal al Quran, asas fardhu ain dan akhlak islamiyyah. Dirinya menjadi contoh. Bangun seawal pagi megejutkan isteri dan anak-anaknya untuk menyembah Allah. Menjadi guru al Quran kepada anak isteri, melaksanankan tuntutan kerjaya dengan baik. Tidak ponteng kerja apatah lagi menipu harta kerajaan.   


Kedua : Pasangan yang suka bertolak ansur dan cepat mengakui kelemahan diri sendiri. Tidak cepat menuding jari kepada pasangan apabila berdepan dengan kemelut. Sentiasa menjadi pendengar yang baik ketika pasangan meluahkan isu. Cepat-cepat bermunajat ketika rumahtangganya dirasakan tersasar atau bergolak. Pasangan sebegini akan cepat dirahmati dan konflik yang berlaku akan cepat reda. Mampukah kita melakukannya ? Ya jika ada kemahuan dan sanggup mengetepikan ego diri sendiri.

Ketiga : Suami/isteri yang tidak sesekali membanding bandingkan pasangannya dengan orang lain. Tidak mengungkit ungkitkan kelemahan diri pasangan. Sebaliknya, sentiasa bersyukur atas kurniaan serta redho seadanya. Akuilah manusia itu tidak akan puas dan merasa sempurna sampai bila-bila.

Keempat : Sentiasa membina jiwa taqwa yang mendamaikan. Bermunajatlah di sepertiga malam, Solat sunat dhuha, suka bersedekah, rajin melakukan kerja amal, menziarahi orang sakit, kematian dan bersangka baik dengan semua orang. 

Kesemua ini sukar dilakukan bagi orang yang tidak bersedia untuk berubah. Tetapi senang dibuat oleh individu yang ada kemahuan, iltizam untuk bermujahadah. Kerana jalan ke arah taqwa itu pahit, berduri dan berliku. Tetapi hasilnya manis dan lumayan. Hanya dapat dirasakan oleh orang yang melakukannya, bukan sekadar membaca.....

0 Response to "MEMILIKI DUA SYURGA"

Jaringan Berita