Terkini

KAROMAHNYA SEORANG IBU (BUAT CALON UPSR)



Cepatnya masa berlalu. Rupanya anak sulung aku salah seorang daripada 497,691 orang calon Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) bagi tahun 2012. Teringat pula  saat-saat aku menghadapi peperiksaan Penilaian darjah lima dulu, sekitar tahun 1985. Sudah pasti, suasana persiapan dan sikap masyarakat pada hari ini jauh berbeza dengan dulu. Semoga segala apa yang diusahakan oleh anak aku dan pihak sekolah akan membuahkan hasil lumayan. 5A dalam genggaman, InsyaAllah.




            Pada kesempatan ini, aku ingin kongsikan dua kisah benar lagi menarik untuk direnungkan, khususnya buat yang bergelar ibubapa. Lebih menyakinkan lagi, mereka yang terlibat dalam kisah ini masih hidup dan boleh ditemubual pada bila-bila masa. Satunya berlaku di Rantau Panjang dan satu lagi di Kubang Kerian, Kelantan.

            Seperti biasa, si anak lelaki ini dibesarkan dalam sebuah keluarga yang amat dhaif di sebuah kampong di Rantau Panjang Kelantan. Latar cerita ini sekitar tahun 80-an. Umumnya, orang kampong masih lagi bergelut dengan pusaran ganas kemiskinan. Untuk ke sekolah, si anak akan dibekalkan dengan masakan air tangan ibunya. Nasi goreng, Mi goreng, Jepput dan sebagainya adalah menu popular. Akibat kemiskinan, anaknya ke sekolah dengan poket kosong berlatarkan baju sekolah yang lusuh.

            Suatu hari, anaknya memberitahu  pagi esok peperiksaan besar akan bermula. Ibu yang buta huruf itu, buat-buat tengok jadual peperiksaan yang diitunjukkan oleh anaknya. Seperti biasa, sudah pasti seorang ibu akan  mengharapkan sesuatu yang terbaik untuk anaknya itu.

            Ringkas cerita, setelah keputusan peperiksaan diumumkan ternyata anak lelakinya itu berjaya dengan cemerlang dan tergolong dikalangan pelajar terbaik di sekolah berkenaan. Syukur alhamdulilah. Ketika ditanya, apa rahsia atau petua si ibu tua ini dalam mendidik atau memberi dorongan kepada kejayaan anaknya. 

Si ibu yang buta huruf dan tidak berpendidikan ini hanya menjawab “ Setiap pagi ketika anaknya sedang berjuang di dalam dewan peperiksaan, setiap kali itulah dia akan duduk di atas tikar sejadah (Sembahyang) dan berdoa kepada Allah swt sepanjang hari agar memberi yang terbaik untuk anaknya itu “…Subhanallahhhhh !!!!…..Hari ini, anak si miskin itu tadi telah menjadi seorang professor di salah sebuah IPTA di Pantai Timur.

                   Kisah kedua pula berlaku di sebuah kampong di Kubang Kerian, Kelantan. Si anak ini dibesarkan dalam sebuah keluarga yang susah lantaran sikap baran dan pemalas bapanya seorang kaki judi dan penjenayah tegar. Keluar masuk penjara adalah rutin bulanan. Mencuri, memeras ugut, jenayah adalah perkara biasa.

Sebut saje namanya semua orang kampong akan kenal. Pendek kata, di mana ada dia, di situlah ada huru hara ! Hal anak-anak diserahkan sepenuhnya kepada isteri. Mempunyai lapan orang anak yang rapat-rapat jarak kelahirannya.

            Si ibu pula seorang wanita klasik dan ‘kampong’. Tidak tahu apa-apa mengenai dunia persekolahan. Jauh sekali untuk mengajar subjek bahasa Inggeris atau matematik. Tetapi si ibu ini mempunyai satu keinginan yang tinggi untuk melihat anaknya berjaya dan tidak mewarisi kebobrokan bapanya. Disiplin adalah teras dalam mendidik kelapan-lapan anaknya. Bayangkan dengan kekangan kewangan yang terbatas beliau masih mampu membesar dan mendidik anak-anaknya.

Caranya ialah, setiap malam selepas solat maghrib beliau akan mempastikan anak-anaknya membaca al Quran dan membuat kerja sekolah. Tidak dibenarkan sama sekali keluar rumah, tidur dan sebagainya. Televisyen memang confirm tak ada lantaran kemiskinan. Si sibu ini hanya tahu memegang rotan mengawasi aktiviti anak-anaknya itu. Itu sahaja tugas seorang ibu yang tidak berpendidikan ?

Tetapi, berkat usahanya yang yang dilihat mudah itu, pada hari ini kesemua anak-anaknya itu berjaya belajar di universiti dan mempunyai pekerjaan yang hebat. Paling penting, kesemua anaknya itu tidak mabuk laut atau lupa daratan.

            Inilah dua kisah yang perlu direnungi oleh sesiapa sahaja yang bergelar ibu dan bapa dalam mendidik anak-anak. Duit, kesenangan, tuisyen dan sebagainya bukan satu jaminan untuk menikmati kejayaan. Paling penting lagi ialah cemerlang dalam akademik semata-mata bukanlah pengukur kejayaan mutlak. Sebaliknya, cemerlang dalam akhlak adalah paling utama untuk kesenangan masa hadapan.

            Ya Allah kurniakan kepada kami anak yang soleh, cemerlang dan berjasa untuk agama, bangsa dan negaranya….Amin…..


-->

1 Response to "KAROMAHNYA SEORANG IBU (BUAT CALON UPSR)"

Ayah Muda said...

Tahniah...terharu ayahmuds dengan kisah itu...semuga terus sukses dgn penulisan...

Jaringan Berita