Terkini

Nak Jadi Kaya !

SEMUA orang mahu menjadi kaya. Memiliki wang tunai, harta benda, rangkaian perniagaan, saham-saham dan sebagainya. Bila kaya, semua hajat dihati akan tertunai. Kita akan dipandang tinggi dan setiap perkataan yang diucapkan semuanya bernilai.


Wang adalah segalanya tetapi segalanya
tidak dapat dibeli dengan wang.
Jadilah orang BERwang bukan
Beruang

Baju murah yang dipakai oleh si kaya akan dianggap mahal. Sebentuk cincin yang dibeli di kaki lima, tetap dilihat sebagai permata bermutu tinggi. Jika si kaya ini berbaju santai dalam majlis rasmi, maka orang mengangap dia seorang yang berjiwa rakyat dan tidak mahu menunjuk-nunjuk. Jika dia makan menggunakan tangan bukan sudu/ garfu, maka orang menganggap dia mahu ubah selera. Jika dia meminjam wang dengan kita, dikatakan mungkin dia tertinggal dompet pada hari tu. Hatta jika dia tidak membayar hutang sekalipun kita tetap positif. Ringkasnya, buatlah apa sahaja wahai si kaya orang tetap melihatnya dari sudut yang baik.

Cuba orang kebanyakkan yang berbuat demikian, akan dikata orang ' Orang hulu daripada mana ni '. Disumpah dan dimaki tak henti-henti. Memalukan majlis dan sebagainya. Ditutuhnya sebagai tidak tahu protokol dan 'darat'. 

Semua orang bercakap secara tertib dan takut-takut dengan si kaya. Segala lawak jenaka yang dibuatnya semasa perbualan semuanya lucu dan menarik perhatian. Ketawalah kita berdekah-dekah, kononnya lucu. Bila sesekali si kaya jerkah, semua orang kecut, takut dan tak berani angkat kepala. Ibarat tikus menghadapi si kucing lapar. Segala pendapat si kaya dalam mesyuarat akan dipandang serius dan bernilai tinggi walaupun bukan bidang pengajian atau pengalamannya. Kerana si kaya ini kadang-kadang tidak berpendidikan tinggi. Membaca pun merangkak-rangkak, mengira jauh sekali. Semua tugas ini diupah kepada si cerdik untuk menguruskannya.

Kerana itulah, semua orang berlumba-lumba untuk menjadi orang kaya. Pelbagai skim perniagaan diperkenalkan melalui alam siber dan alam realiti. 'Duit masuk macam air ke dalam akaun anda setiap hari, tidak perlu bertemu pelanggan hanya mengadap PC sahaja. Contoh iklan berbaris untuk menarik si pencinta kekayaan ini. Dilampirkan pula testimoni yang menggiurkan. Masuklah si hamba Allah ini sebagai ahli, kesudahannya pi mai pi mai tang tu jugak.Tiada jalan pintas untuk menjadi kaya.

Ada yang mencari lubang perniagaan yang rileks, modal kecil, risiko rendah, TETAPI untungnya besar. Macam-macam direka produk dan skim jualan. Ada yang sanggup menipu dan menindas orang ramai yang sedang kemaruk nak jadi kaya. Huru hara masyarakat dibuatnya. Puncanya mahu jadi kaya secara cepat. Ingat, No pain, No Gain kata Mat Salleh.

Tidak terkecuali juga golongan yang perasan nak jadi artis atau ikon pujaan. Konon dirinya berbakat besar dan terpendam. Berlatihlah menyanyi sampai nak terkeluar urat perut. Menangis-nangis tak lulus ujibakat. Masih tak sedar yang dirinya memang tidak berbakat. Tergila-gila nak jadi pelakon pula. Hadiri ujibakat 'pilih kasih'. Akhirnya dirinya yang tersisih. Kecewa seolah-olah tiada lagi harga diri.

Ramai juga ibu bapa hari ini yang lebih sukakan anaknya menjadi artis berbanding menjadi insan terpelajar. Minta jauh kalau jadi ustaz atau sasterawan !. Katanya tak glamour. Bila jadi artis semua orang kenal siapa keluarganya. Inilah anak yang jadi 'Qurrata A'yun' yang selalu didoakan. Siapa yang tak nak jadi artis, sekali show puluhan ribu dibayar. Itu belum dikira royalti album dan bayaran elaun sebagai duta produk komersial. Huhhh..kaya beb....

Seorang profesor yang menang anugerah penyelidikkan di Geneva pun dapat berapa sen sangat berbanding dengan usahanya yang bertahun-tahun membuat kajian dan penyelidikan. Walaupun manfaatnya untuk masyarakat sejagat tetapi imbuhan kepada dirinya biasa-biasa sahaja. Tetapi artis.......Tak payah ceritalah.

Begitulah manusia menilai kehidupan pada hari ini. Wang adalah segala-galanya. Kerana segala dalam kehidupan ini memerlukan wang. Harga diri, halal haram semakin dikesampingkan. Tetapi akan tiba suatu masa dalam setiap kehidupan insan satu detik atau satu ketika yang dia akan memahami bahawa apa yang dikejarkan itu sebenarnya hanya fatamorgana. Akan timbul satu persoalan dalam dirinya, kenapa hidupku kini tidak keruan dan dirasakan sempit. Jiwanya sentiasa kacau.

Ketika itu barulah insan menyedari sebenarnya ada lagi benda yang lebih penting dari bayang-bayang yang dikejar itu. Baru dia sedar semakin dikejar bayang itu semakin jauh. Kita mahukan sebuah kekayaan mata benda yang memberikan ketenangan dan kebahagian. Kita mahukan kekayaan yang dapat mengekalkan  kesihatan diri. Kita mahukan kekayaan yang hadir bersama dengan masa indah bersama keluarga. Dan kita mahukan sebuah kekayaan yang dapat membina setitik nilai persahabatan ikhlas. Tiada apa yanga lebih indah dalam kehidupan ini selain dari memiliki harta dan wang dari sumber yang menyakinkan, bersih dan diberkati.   SELAMAT BERZAKAT 1432H.


2 Responses to "Nak Jadi Kaya !"

gina marna said...

Ukur baju di badan sendiri...ustaz sy (ampunnn) kata buat ape pakai kereta besar kalau hati x senang...pakai je kereta wira timing belt wat hal pon asal bahagia..:)

Mohd Fadli bin Sulaiman said...

macam pernah dngr je ayat ni ekk. Jangan ambik ati Datin. Puan dikurniakan kluarga bahagia dan smpurna sglanya. Siti Nurhaliza w/pun kaya tp Tuhan uji dia 'dilambatkan' zuriat. Kita smua ada...bahagia jd kita ni.

Jaringan Berita