Terkini

Rintihan di Sepertiga Malam

YA ALLAH,

Kami pohonkan apa yang pernah dipohonkan oleh Nabi Kami Muhammad (SAW). Kami meminta perlindungan dari apa yang pernah diminta perlindungan oleh Nabi Kami Muhammad (SAW). Ya Allah kami pohon agar Engkau jadikan semua keputusan Qada' dan Qadar Mu kepada kami baik. Kami pohon perlindunganMu dari segala keburukan.

Ya Allah kabulkan doa kami
sempena bulan Ramadan almubarak ini
Ya Allah,

Perlihatkanlah apa yang benar itu benar, dan berilah kekuatan kepada kami untuk mengikutinya. Perlihatkan kepada kami perkara yang salah itu salah dan berilah kekuatan kepada kami untuk menjauhinya. Ya Allah berilah kekuatan hidayah dan taufiqMu agar kami dapat meneruskan perjuangan Nabi kami Muhammad (SAW) pada zaman yang tidak ada Nabi dan Rasul ini.

Ya Allah,

Sucikanlah hati dan fikiran kami dari segala jenis syirik, kufur, nifak, fasik, zalim dan segala macam sifat keji. Hidupkanlah hati dan fikiran kami dengan sifat-sifat yang terpuji. Ya Allah, sebagaimana Engkau sentiasa mengingati kami, jadikanlah hati kami sentiasa mengingati Engkau.

Sebagaimana Engkau sentiasa mengasihi kami, jadikanlah hati kami sentiasa mengasihi Engkau lebih dari segalanya. Sebagaimana Engkau sentiasa berbuat baik kepada kami, jadikanlah kami sentiasa berbuat baik semata-mata kerana Engkau. Sebagaimana Engkau sentiasa bersama dengan kami, jadikanlah hati kami sentiasa menyukai apa yang disukai oleh Engkau dan membenci perkara yang dibenci oleh Engkau.

Ya Allah,

Berikanlah kepada kami ilmu yang memberi manfaat, iman yang mendalam, hati yang khusyuk, lidah yang selalu mengingati namaMu, rezeki yang halal, anak yang soleh, keturunan yang baik, perniagaan yang berjaya, badan yang sihat dan kehidupan yang penuh berkat.

Ya Allah,

Engkau sahajalah yang maha mengetahui berapa lama lagi kami akan berada di dunia ini. Ya Allah jangan Engkau keluarkan kami dari dunia ini sehingga kami telah berjaya menunaikan tanggungjawab kami sebagai hamba dan khalifah Engkau di dunia ini. Ya Allah bantulah kami agar berjaya menyelesaikan segala masalah kami dengan manusia serta membayar segala hutang kami.

Ya Allah,

Hidupkanlah kami dengan Islam dan matikanlah kami dengan Islam. Akhirilah hayat kami dengan khusnul khotimah dan kalimah Lailahaillah...Ya Allah selamatkanlah kami ketika berada di dalam kubur. Jadikanlah kubur kami itu salah satu taman dari taman-taman syurga. Sebaliknya jangan Engkau jadikan kubur kami itu salah satu dari lubang neraka. Berikanlah kekuatan kepada kami untuk menjawab segala soalan Mungkar dan Nakir.

Ya Allah,

Selamatkanlah kami ketika dunia ini dihancurkan. Selamatkanlah semasa kami dibangkitkan dari kubur menuju Mahsyar dan selamatkanlah kami ketika berada di Padang Mahsyar. Naungilah kami dengan naungan alQuranul Karim, naungan sedekah-sedekah kami dan naungan Arash engkau.

Ya Allah,

Selamatkanlah kami ketika kami dihisab di mahkamah Engkau. Hisablah kami dengan hisab yang sedikit dan ringan. Maafkan segala dosa, kealpaan dan kelemahan kami selama ini, berikanlah peluang kepada kami untuk mendapat syafaat Nabi kami Muhammad (SAW).

Ya Allah,

Selamatkanlah kami ketika melalui titian SirotMU yang menakutkan itu. Selamatkanlah kami dari neraka dan sebab-sebab yang membawa ke neraka. Ya Allah masukkanlah kami ke dalam syurga Engkau dan dapat bertemu dengan Engkau dan dapat melihat wajah Engkau dan mencapai keredaan Engkau sebagaimaa yang Engkau janjikan kepada kami Ya Allah.

Ya Allah,

Perkenankanlah segala permohonan kami ini. Mustajabkanlah segala doa kami, tunaikanlah segala hajat kami, selesaikanlah segala masalah kami, sembuhkanlah segala penyakit kami, bayarkanlah segala hutang kami, sempurnakanlah segala kekurangan kami, kuatkanlah segala kelemahan kami, realitikanlah segala cita-cita kami, cemerlangkanlah kerjaya kami, satukanlah hati-hati kami dengan berkat Nabi kami Muhammad (SAW) dengan karomah al Quranul karim dan dengan BERKAT AMALAN KAMI YANG PALING IKHLAS....AMINNNNN......

0 Response to "Rintihan di Sepertiga Malam"

Jaringan Berita