Terkini

KENAPA ALLAH SWT TURUNKAN MASALAH KEPADA KITA

Jangan banyak termenung...
Bila nama saja manusia, maka kita tidak akan sunyi dari masalah. Lain orang, lain masalahnya. Ada juga sesuatu yang mendatangkan masalah kepada orang lain, tetapi menjadi peluang kepada pihak lain. Setiap masalah yang menimpa akan mengubah rentak hidup anda jika tidak ditanganinya dengan baik. Semua masalah yang ditimpakan itu adalah untuk :

1. Membongkar segala kekuatan yang terpendam di dalam diri.

Cuba perhatikan, kebanyakkan orang yang berjaya lazimnya melalui kehidupan yang berliku. Masalah yang dihadapi telah memaksa dirinya mengerah segala kudrat dan pemikiran. Potensi yang tersembunyi akan mula terpamer. Kerana berkat kesabaran dan kesungguhan, mereka akhirnya berjaya. Ingat ! semua masalah boleh diselesaikan. Bersabarlah.

2. Agar kita berubah

Pandanglah sesuatu masalah itu sebagai batu loncatan dan bukannya beban yang perlu dirungsingkan. Bila mengalami masalah, katakan kepada diri, " inilah masa untuk aku berubah." Masalah sukar untuk diselesaikan jika kita masih menggunakan cara lama. Kita perlukan kaedah dan formula baru untuk mengatasinya. Dalam proses pengkajian ini kita akan ketemui idea-idea baru yang segar. Bila idea ini dilaksanakan, kita akan berubah tanpa disedari.

3. Balasan ke atas dosa-dosa kita

Semua manusia berdosa. Sebaik-baik orang yang berdosa itu ialah mereka yang selalu sedar diri dan bertaubat. Ingatlah, sesuatu masalah itu sebagai amaran daripada Allah di atas perbuatan kita. Sebagai satu amaran awal dariNYA kerana mungkin kita sudah semakin jauh dari landasan taqwa.

4. Kerana perbuatan tidak baik kita kepada orang lain

Jika kita menyakiti hati seseorang, sama ada secara sengaja atau tidak, orang yang kita sakiti itu teraniaya maka ketika itu hidup kita tidak akan tenang lagi. Masalah akan datang bertimpa-timpa dalam hidup kita. Justeru, jika hidup kita selalu bermasalah, maka fikir dan renunglah perbuatan kita sebelum ini. Mungkin kita telah menyakiti hati seseorang.

Mungkin orang yang kita sakiti itu adalah ibu bapa kita sendiri. Atau mungkin juga rakan sekerja yang menyampah dengan sikap kita tetapi tidak tergamak untuk memberitahunya. Oleh itu, sentiasalah meminta maaf dan berwaspada dengan sikap kita. Jadilah orang yang paling bermanfaat kepada orang lain. Ingatlah setiap masalah itu adalah peluang untuk kita belajar sesuatu yang baru dalam kehidupan ini.

Mendambakan ketenangan dengan mendampingiNYA
Sentiasa befikiran positif dan ikhlas. InsyaAllah hidup akan kekal bahagia....

0 Response to "KENAPA ALLAH SWT TURUNKAN MASALAH KEPADA KITA"

Jaringan Berita