Terkini

Antara Ayah dan Kereta

Jika ditanya kepada seorang anak, " Mana lebih kau sayangi antara ayah/ ibu kamu berbanding dengan sebuah kereta ? Sudah pasti jawapan yang waras ialah mereka memilih ibu bapa. Tetapi realitinya, adakah begitu.

Syurga idaman

Seorang anak yang hidup mewah di dalam sebuah rumah besar, berkereta mewah dan berjawatan tinggi sewajarnya perlu bersyukur. Jangan sesekali melupai jasa ayah dan ibu. Amat malang jika pendidikan tinggi yang diberikan oleh ayah ibu selama ini, akhirnya menjadikan anak-anak ini seperti 'robot'. Tidak ada ruh kasih sayang keinsanan.

Jika garaj deretan kereta mewah boleh disediakan sebegitu rupa, bagaimana dengan rumah kediaman ayah di kampung ? Harapnya tidaklah bocor di sana sini pada musim hujan. Semoga ayah dan ibu tidak lagi tidur beralaskan tikar mengkuang usang bertemankan nyamuk dan pepijat yang gatal. Semoga tidur ayah tidak lagi terganggu. Biarlah mereka meniti sisa-sisa usia ini dengan tenang dan penuh kerehatan.



Ada juga anak yang memasang penghawa dingin di dalam garaj kereta kesayangannya. Tetapi rumah ayah di kampung masih lagi belum berkipas. Musim kemarau yang panas ayah dan ibu hanya mampu berkipas tangan dan memakai sehelai sepinggang. Panasnya.......Apa boleh buat, kami sudah selesa begini, kata ayah.


Rumah ini masih seperti dulu
Ayah dan ibu tidak akan bersungut dan meminta apa-apa dari kita. Cukuplah dengan hanya melihat kebahagian dan keceriaan yang diraih oleh anak-anaknya. Mereka akan berbangga dengan kejayaan kita. Mereka akan menceritakan kisah hidup mewah kita kepada rakan-rakannya. Biarlah segala duka semalam itu ayah dan ibu sahaja yang menanggungnya. Bergolok gadai, berhutang sana sini untuk membesarkan anak-anak. Menebalkan muka demi anak-anak.

Tetapi hari ini, anak-anak sudah senang. Masing-masing sudah malu untuk mengingati susur galur jalur keperitan itu. Apatah lagi untuk mengaku silsilahnya dari keluarga yang susah. Tinggallah ayah dan ibu yang masih seperti dulu.

Janganlah ada dikalangan kita ini, menjadi anak yang tidak mengenang budi. Membiarkan ayah dan ibu  berterusan hidup dalam pusaran ganas kemiskinan sedari muda hingga ke tua. Apalah erti kekayaan dan kemewahan hidup, jika orang yang sepatutnya dirai, dsanjung dan dihargai terdampar di buai ilusi masa. Hakikatnya kedua insan ini sudah terbuang di dalam kamus hidup anaknya !..
 " Ya Allah, ampunkanlah dosa kedua ibu bapaku. Rahmatilah kehidupan mereka. Sayangilah mereka sebagaimana mereka menyayangi aku semasa aku masih kecil..."

2 Responses to "Antara Ayah dan Kereta"

Hawa said...

Syabas Ustaz...memang berbakat dlm bidang penulisan...satu nasihat yang baik kepada pembaca semua..

Mohd Fadli bin Sulaiman said...

Tq sahabat...

Jaringan Berita