Terkini

ANDA DIINGATI KERANA 3 WAKTU

Tiga waktu penting dalam sebuah persahabatan. Kita amat perlu menjaganya. Jika gagal, keharmonian persahabatan dan keikhlasan kita akan diragui. Kita dianggap kawan yang tidak pandai menghargai kawan. Walaupun hakikatnya kita tidak bermaksud begitu. Agama Islam  yang indah juga amat menitikberatkan 3 waktu ini. Saat yang dimaksudkan itu ialah :



1. Ketika sahabat kita kematian orang yang tersayang. Mungkin kedua ibubapa, isteri atau anak-anaknya. Sudah pasti perasaanya amat sedih dan dunia ini gelap seketika. Dia perlukan sokongan emosi dan motivasi. Justeru, wajib kita hadir dan mengucapkan takziah sebagai tanda simpati. Solat ke atas jenazah, hantarnya ke kubur dan bertahlil. Jika keadaan tidak mengizinkan, maklum kepadanya tentang kesulitan yang kita hadapi. Jangan sekali-kali berdiam diri dan bersikap sambil lewa dalam hal ini. Anda akan dianggap kawan yang buruk.

2. Ketika sahabat kita jatuh sakit. Saat ini, sahabat perlukan sokongan dan kata-kata semangat serta doa daripada kita. Bayangkan jika kita berada di tempat mereka. Kita juga berperasaan demikian. Si sakit ini jiwanya amat sensitif. Lazimnya mereka banyak berfikiran negatif. Ketika ini, dia perlukan kita untuk mendampinginya. Setelah sihat, dia akan ingat dan rasa terhutang budi yang teramat sangat kepada kawan-kawannya. Tetapi jika sepanjang tempoh dia menderita sakit itu, kita tidak pernah menjengok dan bertanya khabar, sahlah kita ini hanya kawan semasa senang sahaja.

3. Pada hari perkahwinan. Hari yang paling bahagia dalam hidup seseorang. Kita perlu rai dan menghargainya. Bawa hadiah yanng sesuai dan diiringi dengan ucapan tahniah beserta doa. Sudah pasti sahabat kita akan gembira dan ceria.

Justeru, indahkan persahabatan ini dengan bunga-bunga kejujuran. Belajar menyemai benih-benih kemesraan dan menyiraminya dengan doa dan keikhlasan. Jangan sesekali mengharapkan perbuatan baik yang dihulurkan itu akan mendapat balasan. Kita akan kecewa. Lakukannya hanya kerana Allah dan rasa tanggungjawab. Insha Allah penghargaan dan balasan baik akan diterima jua.


0 Response to "ANDA DIINGATI KERANA 3 WAKTU"

Jaringan Berita