Terkini

ERTI DISEMBER

BULAN Disember 2013 semakin hampir menjenguk. Hujan renyai-renyai mula membasahi bumi. Di bahu kiri kanan jalan raya sudah ramai yang mula menjual ubi kayu dan putu mayang. Anak-anak kecil mula belajar mengail ikan di tali air dan anak remaja mula mencari pukat ikan. 

Erti bulan Disember tahun 80-an dulu amat berbeza dengan suasana hari ini. Disember dulu cukup meresahkan petani. Musim banjir di Pantai Timur. Segala aktiviti harian tergendala menyebabkan fikiran mereka turut sama terbelenggu dan kaku. Mereka dihujani kebimbangan dan keresahan selebat hujan yang turun menikam bumi. Periuk nasi payah nak berasap. Duit semakin liar untuk mengisi poket. Sedangkan keperluan harian semakin mendesak. 


Tembakau adalah tanaman utama ketika itu. Sumber rezeki yang dikira lumayan dan mampu merubah nasib petani. Walaupun proses penanamannya cukup melelahkan tetapi hasilnya boleh menjadi pengubat sengsara. Letih dan penatnya tanam tembakau ini hanya Tuhan sahaja yang tahu. Tambahan pula waktu itu, semua kerja dilakukan secara manual. Hanya berbekalkan tulang empat kerat sahaja. Menjemur diri dimamah mentari dan malamnya dibelai lembut oleh embun jantan. Hangus terbakar wajah jelita dan kering peluh di tubuh penangan tembakau ini.

Irama ketukan hujan yang bertalu-talu di bumbung rumah pada bulan Disember cukup menakutkan. Bukan kerana takut rumah dihanyut air, tetapi bimbang anak tembakau yang mula subur itu hilang sekelip mata. Dicabut nyawa oleh air bah yang mula mengganas. Pada bulan ini si petani mula menyemai benih, mengerek dan seterusnya menanamnya di tapak. Lebih kurang sebulan anak tembakau mula subur membesar. Kehijauan segar daun tembakau ditiup angin itu seolah-olah helaian duit yang bergayutan. Tunggu masa sahaja untuk dipungut. Itulah 'nyawa' para petani dan itulah penyambung kehidupan anak isteri. 

Kesuburan daun tembakau itu menyegarkan semangat si petani sekeluarga. Hilang segala penat jerih sebelum ini. Dengan daun tembakau itulah nanti akan dibayar yuran sekolah yang tertunggak, melunaskan hutang membajak tanah, baja dan membayar balik wang pendahuluan kepada tauke. Hasil ini jugalah yang akan digunakan untuk membeli beras usang secara borong, mendapatkan bekalan gula, gandum, teh, susu, milo dan sebagainya. Mewahlah seketika anak petani ketika ini.

Ada disember yang membahagiakan, dan ada disember yang cukup memeritkan. Menyayat hati apabila pohon tembakau yang subur tadi terkulai layu dalam pusaran ganas musim bah. Seakan-akan bah itu tidak mengerti jerih payahnya si petani ini untuk membesarkan anak-anak yang masih menyusu. Seolah-olah banjir itu tidak tahu masih ramai lagi anak petani itu yang masih bersekolah!

Paginya merah mata si petani menangis di dalam hati melihat tanamannya 'carok' digenangi air. Baru nak berkhayal untuk membeli dan membayar itu dan ini, tiba-tiba terpaku, bungkam melihat tapak tanamanya bertukar menjadi lautan. Thunami itu telah meragut segala-galanya.

"Tak jadi pulok tembakau tahun ni". Rintihan biasa seorang petani bila hasil tembakaunya menjadi kosong. Masing-masing duk 'Selimut telanjang' di dalam rumah sambil makan ubi kayu 'cicoh nyor'. Ada yang rajin mengubah haluan dengan aktiviti menyuluh ikan darat pada waktu malam, menahan pukat dan menyuluh 'burung tirrok'. Itu sahaja yang mampu dilakukan. Waktu itu tidak ada wang bantuan BRIM atau sebarang imbuhan untuk memulihkan semangat petani.

Mahu kerja sebagai buruh rumah batu, tiada projek pada musim ini. Mahu berniaga langsung tak ada ruang. Nak berniaga apa benda. Semuanya menjadi buntu dan seakan-akan dah mati semangat. Tetapi bila melihat kepada anak-anak yang sedang tidur berbaris di atas 'gelegar' tak berbaju, tiba-tiba air mata meluncur laju seperti sekatan tali air yang pecah. Apa yang harus aku lakukan untuk membesarkan anak-anak ini?

Diambilnya sejadah usang dan melakukan solat sunat hajat. Mohon Allah perkuatkan semangat, iman dan dimurahkan rezeki untuk anak-anak. Rezeki ada dimana-mana jika kita berusaha. Berhutang dan bergolok gadailah apa yang ada. Tidak perlu malu demi anak-anak.

Mungkin juga Tuhan nak mendidik para petani ini mengerti erti bersyukur. Sebabnya ada sesetengah para petani ini, bila musim tembakau ini menjadi mereka mula lupa diri. Tidak ingat sujud kepada Allah lima waktu kerana asyik menepur anak tembakau yang manja kehijauan itu. Si petani akan bekerja siang malam dengan mengerahkan seluruh keringat ahli keluarga. Kecil besar sehinggalah kepada anak yang masih menyusu. 

Hilang segala segala penat jerih selama 41 hari itu apabila menerima 2 atau 3 keping kertas yang tertera not seribu pada hari 'timbang daun'. Anak-anak mula merasai burger pasar malam dan minum air sirap bandung. Boleh pakai baju baru dan bawa duit poket lebih ke sekolah. Anak remaja lelaki pula mula pasang angan-angan mahu beli motor RXZ. Anak perempuan pula sibuk dengan baju baru di minggu. Sukanya ketika itu seperti tidak mahu mati!

Hari ini, anak-anak generasi Y tidak lagi mengerti erti DISEMBER ini. Pada mereka kehidupan ini seperti lebuhraya utara selatan. Lurus dan jarang sekali bengkang bengkoknya. Bagi kami, disember ini cukup bererti untuk dikenang. Disember telah memaknakan kembali erti kasih sayang dan pengorbanan. Betapa agungnya jasa dan pengorbanan Ayah dan ibu selama ini. Membesarkan kami dengan penuh keperitan..
 

0 Response to "ERTI DISEMBER "

Jaringan Berita