Mohd Badri Radzi a.k.a Piya merupakan lagenda baharu bolasepak Kelantan selepas Hashim Mustaffa. Walaupun tidak pernah mendapat anugerah kasut emas, Piya tetap hebat dalam kelasnya yang tersendiri.
Rakan kongsi Ajih Nasi Lemak 80 sen ini merupakan katalis ledakan kefanatikan penyokong TRW. Mempunyai aura yang tersendiri dan dianggap jeneral padang paling berpengaruh.
Pemain Paling bernilai 2013 |
Pemain kelahiran 2 Jun 1982 ini terkenal dengan gelaran Kapten Marvell lantaran magis yang dimilikinya. Seakan jersi bernombor 16 itu mempunyai signifikan yang tersendiri dalam kerjayanya. Beliau akan membuktikan kesaktiannya itu ketika pasukan memerlukan. Biasanya pada saat genting dan misi hidup mati TRW.
Sinonim dengan hantaran tepat dan lorongan maut yang membelah pertahanan lawan. Cukup mengelirukan dan sukar dibaca. Tetapi kehebatannya tidak begitu menyerlah ketika mewakili Kelantan JPS (2004), TNB (2005), Kelantan FA (2006), PDRM (2007) dan akhirnya taring sebenar telah ditunjukkan ketika kembali menyarung jersi TRW pada tahun 2008 sehingga kini.
Satu lagi trade mark pemain kelahiran Kota Bharu ini ialah skill tendangan pisang bengkoknya (Banana Kick) ketika mengambil sepakan sudut. Kerap kali menjunam dan terus melekat di pukat. Free kicknya juga dikatakan kalau tidak setaraf pun 'ala-ala' Roberto Carlos dan Shunsuke Nakamura!
Bijak membaca corak permainan lawan dan kreatif menggerakkan jentera tengah bergandingan dengan Shakir Saari. Kerap kali pasukan lawan akan terikut-ikut dan terperangkap dengan tempo permainan yang diatur olehnya.
Bak kata pepatah, hanya jauhari yang mengenal manikam. Sayang seribu kali sayang kehandalanya itu dipandang sebelah mata oleh pengendali skuad kebangsaan. Hanya beberapa kali sahaja beliau berpeluang mewakili negara dalam perlawanan penting dan berprestij.
Katanya prestasi Piya ketika mewakili Harimau Malaya dilihat kaku, kekok dan semacam tidak serasi dengan rakan sepasukan. Benarkah begitu? Hanya yang pakar sahaja boleh menjawabnya.
Tuah ayam nampak dikaki, tuah manusia siapa yang tahu. Telahan Azlan Johar sejak sekian lama yang mengkagumi bakat midfielder versatile ini terbukti apabila beliau dinobatkan sebagai pemain tengah terbaik negara dan pemain paling bernilai bagi tahun 2013/1435H pada Anugerah Bolasepak Kebangsaan 100-Plus baru-baru ini.
Untuk musim 2014, pemain yang mempunyai ketinggian 175 cm ini masih setia bersama Kelantan ketika rakan sepasukan lain berhijrah secara en-block ke pasukan yang lebih lumayan.
Persoalannya, apakah beliau akan terus konsisten dengan prestasinya nanti. Apakah beliau akan terus menjadi watak penting sebagai pencetak gol atau pengumpan terbaik untuk rakan-rakan lain.
Atau tahun 2014 nanti bukan lagi miliknya. Setelah segalanya telah dimiliki dalam kerjaya sebagai pemain bolasepak profesional. Peningkatan usia dan kelunturan kudrat sudah pasti akan mempengaruhi. Doakan yang terbaik untuk ikon sukan Kelantan 2013 ini.
1 Response to "LAGENDA PIYA DAN BANANA KICKNYA"
Terabaekkkk!!
Post a Comment