Seperti katak di bawah tempurung, menggambarkan keadaan yang tertutup dan tidak berkembang. Hanya tahu dunianya sahaja. Berfikir mengenai hal disekelilingnya sahaja. Tidak mahu ke depan dan berpuas hati dengan keadaan sekarang.
Ramai orang berfikir bahawa kehidupan ini adalah seperti apa yang dia lihat sahaja. Mereka tidak cuba dan tidak mahu melihat kehidupan ini dari sudut lain. Pandangan kehidupan menjadi sempit, membosankan dan stereotaip.
Tetapi bila mereka keluar dari bawah tempurung pemikiran itu barulah mereka tahu dan sedar bahawa kehidupan ini tidak seperti apa yang mereka fikir dan faham sebelum ini. Rupanya dunia ini luas dan cantik. Begitu banyak lagi peluang-peluang dan sumber rezeki di sana sini. Masih banyak lagi yang belum dipelajari tentang dunia ini. Ketika itu barulah kehidupan menjadi lebih terbuka dan bahagia.
Mereka mula sedar kemampuan melompat dan bergerak juga lebih tinggi dari apa yang disangkakan sebelum ini. Dunia juga tidak gelap dan membosankan. Rupanya potensi diri ini menjadi lebih hebat ketika kita berkembang dan suka mencuba sesuatu yang baharu.
Begitulah kita, perlu keluar dari kotak sempit pemikiran tentang kehidupan ini. Cuba lihat dunia dan segala potensi diri dari sudut pandang yang berbeza. Sudah pasti kita akan dapati bumi Allah ini luas dan rezeki ada di mana-mana. Cumanya, perlukan usaha yang kuat sahaja untuk berjaya. Tidak hanya bergantung kepada khayalan dan angan-angan semata-mata.
0 Response to "BELAJAR DARI KATAK BAWAH TEMPURUNG"
Post a Comment