Terkini

Syurga di Rumah

Dua hari lepas aku didatangi oleh seorang kawan lama. Sahabat yang berperibadi tinggi dan diantara insan yang aku hormati. Sedang asyik bersembang dengannya beliau tercerita mengenai masalah rumahtangganya. Kami berbincang agak lama. Rumusannya, tidak mudah mengemudi bahtera hidup ini.

Permata hati...
Berbahagialah orang yang memiliki rumahtangga yang harmoni dan mendamaikan. Mereka telah dikurniakan syurga di dunia ini sebelum mendiami syurga yang hakiki di akhirat nanti. Soalnya, apakah ertinya rumahtangga yang bahagia pada anda ?. Adakah dengan memiliki segala prasarana hidup, berkerjaya hebat dan terhormat di mata masyarakat atau bagaimana ?

Dalam surah arRum ayat 21, Allah menerangkan betapa wanita (Isteri) itu adalah sumber ketenangan dalam kehidupan suami. Dijadikan antara suami dan isteri itu rahmat kasih sayang dan kasihan belas. Jelas di sini unsur kebahagian yang utama adalah memiliki jiwa yang tenang dan fikiran yang lapang. Suami tidak merasakan isterinya sebagai satu beban. Isteri pula tidak sekali-kali merasakan suaminya sebagai jembalang dalam kehidupan. Sebaliknya saling perlu memerlukan dan menjadi sumber motivasi dalam perjuangan hidup. Sayyidina Ali K.W, pernah berkata, 'Setiap kali aku memandang Fatimah (Isterinya) seluruh fikiran menjadi tenteram dan aman


Hebatnya Fatimah di sisi Ali. Bagaimana jika dipadankan kata-kata itu kepada kita dan pasangan. InsyaAllah, hasilnya akan sama. Jika tidak, fikir-fikirkan. Untuk menjadi sedemikian, tidak ada jalan singkat seperti menggunakan khidmat bomoh atau beri minum pelbagai jenama 'air tawar' daripada tujuh buah kolah !. Bina diri sehampir mungkin dengan akhlak Rasululah dan para sahabatnya. Bersihkan hati dan ikhlaskan diri dalam beramal. Perteguhkan tawakal dan iman yang sebenarnya kepada Allah. Barulah jalan kehidupan ini akan dipermudahkan.

Budaya peluk memeluk dan ciuman
Teorinya mudah, bagaimana dengan praktikalnya?. Pasangan yang baru berkahwin (Kurang dari setahun) akan melalui ujian suai kenal. Ketika ini masing-masing mula mengenali hati budi dan karektor sebenar pasangan. Jika berfikiran negatif maka banyaklah kelemahan pasangan akan dilihat. Tetapi jika dihadapi dengan positif semua itu dilihat sebagai satu proses membina keserasian. Mengalah, toleransi, sabar dan sentiasa berubah ke arah yang lebih baik adalah penawarnya.

Pepatah Arab ada menyebut  Kahwinlah kamu, akan berbahagia sebulan dan akan derita selama-lamanya. Pelik, janggal dan agak menakutkan bunyinya. Maknanya rumahtangga yang dibina tanpa asas takwa akan memperolehi unsur luaran sahaja. Seperti nikmat seks, kemewahan dan sebagainya. Tetapi tidak dapat merasai damainya ruh perkahwinan itu. Akan mudahlah berlaku perbalahan dan perang dingin. Masing-masing tak mahu mengalah. Tiada lagi keberkatan dalam rumah. Syurga sudah bertukar menjadi neraka. Hidup mula terumbang ambing. Prestasi kerjaya mula merudum dan perniagaan makin merosot

Bahtera yang dibina melepasi sepuluh tahun dengan melalui pelbagai rintangan dan ujian adalah dikira hebat. Mereka pandai mengemudinya. Mereka sudah mengenal hati budi, kekuatan dan kelemahan pasangan. Tetapi lebih hebat lagi pasangan yang mampu mempertahankan rumahtangganya sehingga hembusan nafas yang terakhir. Sama ada monogami atau poligami!.

Tidak ada jalan singkat untuk senang. Melainkan perlu merubah sikap. Change your attitude, you can change your life...Kata Mat Salleh. Bina sekukuh mungkin sikap yang positif (mahmudah) dan hindari sikap negatif (Mazmumah). Budayakan segala aktiviti dalam keluarga itu secara berjemaah. Bermula dari makan sehinggalah kepada solat. Amalan berdoa dan membaca alQuran akan menurunkan barakah ke dalam rumahtangga. Bertambah segala kebaikkan melalui harta dan anak pinak yang dimiliki. Oleh itu, bersamalah kita menjadikan alQuran dan asSunnah itu sebagai Imam dalam segala tindakan. Berbahagialah hendaknya....Aminnnnn.

1 Response to "Syurga di Rumah"

~aSHa~ said...

kebetulan pula nama wife ustaz, Fatimah
bertuah beliau

Jaringan Berita