Terkini

Kisah dari Singapura


Sekitar tahun 80-an dulu ayah bekerja sebagai buruh binaan di Singapura. Lelaki yang bekerja di Kota Singa pada zaman itu dikenali sebagai ‘Mat Spura’. Balik ke kampong sekali sekala memang loaded dan bergaya sakan dengan baju jenama mentagok (salah eja) dan seluar Levis.


Buah tangan yang wajib dibawa balik ialah air laici dalam tin (AAA), buah epal hijau atau merah serta limau China. Tak ketinggalan juga ayah belikan kipas angin, sterika dan radio. Tentunya abang dan kakaklah yang paling suka. Mereka dibelikan jam tangan jenama Seiko dan Quartz.

Untuk Mak, ayah belikan kain sarung buatan Indonesia dan baju harian. Setiap kali balik dari Singapura kulit wajah ayah kelihatan hangus. Penangan terjahan sinar matahari di Kota Kosmopolitan itu. Kesian ayah! Satu pengorbanan demi sesuap nasi dan kebahagian keluarga.

Kalau ayah tak balik, pasti ada kiriman wang yang diberi melalui rakan-rakannya yang balik ke kampung. Sekeping sampul surat berbelang merah biru itu sentiasa kami tunggu. Apa tidaknya, di dalamnya pasti ada RM3 atau 4 ratus. Aku selalu mendengar luahan isi hati ayah di lembaran surat yang dikirimkan. Kakak selalu membacanya kepada ibu. Antara frasa yang masih segar dalam ingatan ialah .....

”Apa khabar anakanda di kampung. Ayahanda di Sini sihat walafiat adanya. Ini duit sebanyak RM300.00 dikirimkan.....”

Aku dan adik-adik hanya mampu bertanya, “Bila ayah akan balik”. Ibu akan bagi jawapan yang pelbagai. Dengan duit bekalan itu dan sedikit sumber pendapatan kerja kampung ibu, kami dibesarkan di dalam sebuah rumah kayu yang masih utuh sehingga kini.

Bulan November dan Disember setiap tahun, merupakan saat-saat yang memeritkan. Maklumlah musim hujan. Banyak kerja tergendala. Hanya dipenuhi dengan aktiviti menangkap ‘ikan darat’ sahaja. Ibu dan kakak selalu berpesan, “ Makan nasi sikit saja, tak dok duit nak beli beras “.

Setiap kali teringatkan skrip pesanan itu, air mata ini akan bergenang dan meluncur laju tanpa disedari. Ketika itu aku tidak faham apa makna pesanan itu! yang pasti kami adik beradik tersangat lapar pada musim hujan. Begitu cepat masa berlalu. Kenangan itu telah menjadikan ikatan kasih sayang antara kami adik beradik bertambah kukuh.

Hari ini aku sudah menjadi ayah dan mempunyai isteri serta anak-anak. Aku tidak lagi mewarisi kerja buruh ayah di Singapura. Anak-anak juga tidak lagi melalui pengalaman yang aku lalui dulu. Isteri juga tidak melalui pengalaman perit membesarkan anak dengan sumber yang terbatas. Tetapi pengalaman lalu telah mengajar dan mentakrifkan kepada aku erti bersyukur dan nilai kasih sayang seorang ayah dan ibu...




2 Responses to "Kisah dari Singapura"

~aSHa~ said...

selamat hari bapa...

Meiyeen23 said...

Hi, baju mentagok tu mcm mn ye? Sbb ayah kita suruh carikan. Tapi kat shopee lazada memang x jumpa.

Jaringan Berita